Pemadam api kenderaan meletup, lelaki maut

Alat pemadam api kenderaan yang telah meletup

SUNGAI PETANI– Seorang lelaki maut selepas terkena letupan pemadam api kenderaan dalam kejadian di Bandar Puteri Jaya, hari ini.

Mangsa Mohamad Yusri Omar,43, bekerja separuh masa dengan membaiki peralatan elektronik bagi menambah pendapatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian jam 1.15 petang itu, mangsa dikatakan sedang membaiki radio yang dihantar rakannya.

Menurutnya, rakannya yang ada bersama ketika kejadian memaklumkan pemadam api tersebut berada pada jarak 0.9 meter dari tempat mereka berbual.

Beliau berkata, sebelum kejadian alat itu berada dalam kenderaan tetapi telah dikeluarkan.

“Secara tiba-tiba pemadam api tersebut telah mengeluarkan asap putih menyebabkan mangsa terus mengambil untuk membuangnya tetapi (pemadam api) terus meletup,”katanya seperti dilaporkan Bernama malam ini.

Beliau berkata, siasatan awal forensik polis mendapati terdapat kesan potong pada alat pemadam api tersebut dan siasatan lanjut tidak menemui unsur-unsur jenayah.

Adzli menambah, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa akan dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar bagi mengetahui punca kematiannya.

Mangsa yang parah telah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh isterinya dan saksi namun disahkan doktor meninggal dunia selepas 20 minit kemudian.

Rentas7.com/ Foto: Bernama

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.