Situasi politik Persekutuan mempengaruhi Kedah

KUPANG– Kerajaan negeri Kedah tidak dapat lari daripada tempias perubahan politik di peringkat Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad (gambar) berpandangan, situasi politik di Persekutuan akan mempengaruhi suasana politik di negeri.

“Dalam konteks hari ini (di Kedah) keadaan masih tidak menentu. Tetapi apa yang berlaku di peringkat Persekutuan, ia mempengaruhi negeri-negeri lain, ditambah dengan kejatuhan beberapa negeri lain.

“Kedah yang kedudukan asalnya pun tidak begitu kukuh, maka angin yang bertiup itu akan mempengaruhi situasi politik di negeri ini,”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada Rentas7.com di Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Kupang, malam ini.

Najmi berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut berpandangan Kedah di hujung tanduk selepas terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Itu pandangan beliau (Mahathir), saya yakin ramai di luar sana turut berpandangan sedemikian,”katanya.

Tun Dr Mahathir dalam wawancara disiarkan media hari ini mengkaui nasib anaknya yang juga Datuk Seri Mukhriz diibaratkan sebagai hujung tanduk.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor seperti dilaporkan berkata, perubahan di Kedah dijangka berlaku pada minggu ini.

Komposisi kerusi DUN Kedah ialah PAS tertinggi dengan 15 kerusi, PKR (7), Bersatu (6), Amanah (4), DAP (2) dan UMNO (2).

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.