Seramai 1223 individu dilantik, kukuhkan perkhidmatan KKM

Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR-Seramai 1223 individu terdiri daripada pelbagai jawatan telah terpilih untuk berkhidmat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah memaklumkan KKM mengenai kelulusan pelantikan berkenaan.

Menurutnya, mereka terpilih terdiri daripada 624 Jururawat Gred U29, 336 Penolong Pegawai Perubatan Gred U29, 213 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Gred U29 dan 50 Juruteknologi Makmal Perubatan Gred U29).

“Selaras dengan kelulusan tersebut, KKM akan mengeluarkan surat tawaran pelantikan kontrak kepada calon yang berjaya pada hari Isnin ini, 26 Oktober 2020 dengan tarikh melapor diri bertugas ditetapkan pada hari Rabu 28 Oktober 2020,” katanya hari ini.

Beliau berkata, kebanyakannya yang terpilih terdiri daripada anak kelahiran tempatan.

“Daripada sejumlah 624 pelantikan Jururawat Gred U29 yang diluluskan, sebanyak 317 Jururawat Gred U29 akan ditempatkan di negeri Sabah, manakala 18 lagi di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kementerian Kesihatan berharap dengan pertambahan petugas kesihatan tersebut, akan dapat memperkukuhkan lagi penyampaian perkhidmatan di negeri-negeri yang berkenaan, khususnya di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.