Bot hanyut bawa etnik Rohingya tiba di Langkawi ditahan

LANGKAWI– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot hanyut yang membawa seramai 202 etnik Rohingya, hari ini.

Kumpulan migran itu ditahan di posisi 1.2 batu nautika barat daya Pantai Peranginan Resort Ritz-Carlton, Langkawi kira-kira jam 8.45 pagi.

Timbalan Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, mereka terdiri daripada 152 lelaki, 45 wanita, 4 kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. (gambar)

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut pada tengah hari tadi untuk siasatan awal.

“Kesemua mereka akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut berdasarkan kemasukan ke negara ini secara tidak sah.

“Dalam mengendalikan kes ini, semua pegawai penguatkuasa maritim yang terlibat telah mengambil langkah ketat bagi mencegah penularan Covid 19 dalam kalangan migran,”katanya.

Beliau berkata, pihak berwajib sedang menyiasat aduan dari migran terlibat mengenai tiga individu iaitu seorang tekong dan dua awak-awak yang disyaki sebagai dalang kepada sindiket penyeludupan migran.

Menurutnya, mereka dipercayai telah melarikan diri semasa di laut.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.