Realiti Tadabbur Al-Qur’an dan Syarat-Syaratnya

Dr. Abdul Ghani Md Din

*Kiriman penulis

Golongan agamawan di Malaysia sering berpesan ketika memberikan ceramah atapun kuliah agama di masjid tentang kepentingan mentadabbur al-Quran dan bukannya sekadar membaca al-Quran. Dalam artikel yang ini, saya akan cuba menyentuh beberapa soalan:

1. Adakah perkataan “tadabbur” yang digunakan sesuai bagi rakyat Malaysia yang majoritinya tidak menguasai bahasa Arab dan tidak mempelajari tafsir al-Quran secara mendalam?

2. Apakah pengertian sebenar Tadabbur al-Quran? Adakah setiap orang yang membaca al-Quran boleh mentadabburnya?

3. Apakah pandangan para ulama tafsir, bahasa, dan Usuluddin tentang konsep tadabbur al-Qur’an?

4. Apakah syarat untuk mentadabbur al-Quran?

Artikel ini cuba menjelaskan segala persoalan yang telah dinyatakan di atas sehingga pembaca mendapat satu jawapan yang memuaskan sepertimana yang dikehendaki oleh para pendakawah yang mahukan orang awam bukan sekadar membaca al-Quran namaun turut mentadabburnya.

Bagi menjelaskan konsep tadabbur ini, kita perlu melihat terlebih dahulu pengertian tadabbur dari segi Bahasa. Merujuk kepada kamus bahasa, tadabbur adalah kata terbitan yang berasal daripada perkataan kata dasar :

(د ب ر ).Menurut Ibn Faris: dabara (دَبَرَ ) memberi maksud penghujung bagi sesuatu (آخر الشيء ), di belakang atau berlawanan bagi hadapan.

Menurut Ibnu Manzur pula tadabbur ialah penelitian terhadap perkara di sebaliknya. Fairuz Abadi dalam bukunya telah menambah bahawa perlu menggabungkan dua ilmu pengetahuan untuk mendapatkan pengetahuan yang ketiga di mana tadabbur memerlukan pemikiran yang mendalam untuk mencapai sesuatu yang tidak dapat dilihat atau natijah bagi ayat-ayat bagi memhami pengertian tersiratnya.

Jika kita menelusuri pandangan ulamak tafsir berkaitan takrifan tadabbur kita akan dapati ia menepati makna tadabbur dari segi Bahasa iaitu ia memberi maksud penelitian dan pengamatan terhadap sesuatu perkara.

Zamaqshari dalam Tafsirnya berkata “tadabbur itu pemerhatian terhadap makna-makna ayat dengan penuh penghayatan.

Ia berlaku dengan memikirkan maksud ayat sehingga mencapai pengetahuan makna di sebalik ayat tersebut berdasarkan ta’wilan yang sahih serta makna yang releven”.

Manakala, pentakrifan tadabbur menurut Syaikh Abd al-Rahman Habannakah [w.1425H] adalah penghayatan pemikiran yang menyeluruh terhadap maksud ayat yang termampu dicapai.

Ia merupakan keupayaan memahami kehendak ayat dengan sejauh mungkin lontaran makna yang sampai kepada penghujung maksud ayat al-Quran menerusi isyarat-isyarat ayat tersebut.

Ini merupakan petunjuk yang jelas bahawa tadabbur ialah memahami makna dari lafadz Al-Qur’an, dan memikirkan mengenai apa yang ayat-ayat Al-Qur’an tunjukkan tatkala tersusun, dan yang terkandung di dalamnya, dan juga apa yang menjadikan makna – makna Al-Qur’an itu sempurna, dari segala isyarat dan peringatan yang tidak tampak dalam lafadz Al-Qur’an, serta pengambilan manfaat oleh hati dengan tunduk di hadapan nasihat-nasihat Al-Qur’an, patuh terhadap perintah-perintahnya, dan mengambil ibrah darinya.

Inilah yang dijelaskan oleh Abu Hayyan dalam tafsirnya : (Tidakkah mereka memikirkan al-Qur’an) (An-Nisa: 82, Muhammad: 24) dimana belaiu berpandangan tadabbur ialah tafakkur terhadap ayat-ayat, melakukan ta’amul dengan memerhatikan kepada maksud atau perkara tersirat bagi zahir ayat.

Oleh itu, jelas dari takrifan ulama-ulama bahawa tdabbur itu satu aktiviti berfikir, merenung, mengamati dan memahami ayat-ayat al-Quran bagi menghayati maknanya.

Secara asasnya, tadababur tidak boleh berlaku tanpa melalui proses pemahaman ini bermaksud seseorang itu perlu memhami sesuatu ayat sebelum mampu mentdabburnya atau dalam erti kata yang lain menghayati maksud tersirat di sebalik ayat tersebut.

Bagi memperolehi pemahaman yang jelas terhadap ayat-ayat al-Quran seseorang perlu mempelajari ilmu tafsir terlebih dahulu.

Di sini tidak keterlaluan jika kita katakana bahawa seseorang yang mahu mentadabbur al-Quran perlulah menguasai Bahasa Arab di samping Ilmu Tafsir.

Ini bagi membolehkannya mempunyai kemampuan dalam merenungkan ayat Al-Quran untuk mencari petunjuk daripada dalil ayat tersebut bagi mengistinbat hukum bagi kehidupan secara peribadi, organisasi atau masyarakat.

Dapat kita rumuskan dari perbincangan tadi bahawa wujudnya hubungan yang kukuh di antara tadabbur dan istinbat.

Ini kerana jika kita lihat Istinbat memerlukan medium akal untuk berijtihad bagi mencari sesuatu hukum dan ia tidak akan boleh terjadi tanpa melalui proses penelitian dan kajian yang mendalam terhadap tafsiran ayat-ayat al-Quran sebelum ditetapkan sesuatu hukum tersebut.

Oleh yang demikian, ahli-ahli fekah perlu melalui proses tadabbur hingga mampu mengistinbat hukum dengan tepat.

Namun, pentadabbur tidak perlu mencapai tahap fuqaha’ dalam menghayati al-Quran.

Ini kerana tadabbur hanya memerlukan komitmen akal dan hati untuk memahami manfaat, hukum serta pengajaran daripada sesuatu ayat al-Quran.

Jelas di sini, tadabbur adalah satu proses yang sukar kerana serang pentadabbur itu perlu memiliki kriteria-kriteria bagi membolehkannya mampu memahami al-Quran dengan sempurna.

Terdapat 3 kriteria yang perlu ada bagi seorang pentadabbur.

Pertama: memiliki hati yang beringinan untuk mentadabbur al-Quran.

Kedua: Menyatukan hati dan fikiran ketika membaca dan mendengar ayat-ayat al-Quran.

Ketiga: Memiliki penguasaan Bahasa arab

Ketiga-tiga kriteria ini amat penting bagi seorang pentadabbur bagi memperoleh kefahaman yang menyeluruh terhadap ayat-ayat yang ditadabburnya.

Seseorang pentadabbur itu bukanlah dituntut untuk memahami ayat-ayat al-Quran seperti kefahaman Ibnu ‘Abbas.

Apa yang dimaksudkan adalah memahami walaupun sedikit dari apa yang dibaca atau didengarinya.

Sesiapa yang ingin meneliti makna dan mengutip permata dan mutiara yang berharga, dia memerlukan pengetahuan tentang Bahasa Arab.

Pentadabbur juga mestilah membacca Tafsir yang merupakan satu cabang ilmu khas untuk mengetahui makna sebenar ayat-ayat Allah SWT, manakala tadabbur merupakan usaha untuk mengetahui makna ayat yang mendalam yang tersirat.

Kita boleh menyimpulkan dari apa yang kita sampaikan bahawa perkataan yang digunakan oleh penceramah dalam kulliyyah dan ceramah mereka adalah kurang tepat terutamanya bagi orang awam yang tidak mempelajari dan menguasai Bahasa Arab.

Sebaliknya, para ustaz dan ustazah perlu menggalakkan mereka untuk mempelajari al-Quran melalui pembelajaran tafsir sehingga mereka dapat mentadabbur al-quran dalam erti kata memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang sebenar.

Kita boleh menyimpulkan dari apa yang kita sampaikan bahawa perkataan yang digunakan oleh penceramah dalam kulliyyah dan ceramah mereka adalah kurang tepat terutamanya bagi orang awam yang tidak mempelajari dan menguasai Bahasa Arab.

Sebaliknya, para ustaz dan ustazah perlu menggalakkan mereka untuk mempelajari al-Quran melalui pembelajaran tafsir sehingga mereka dapat mentadabbur al-quran dalam erti kata memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang sebenar.

Rentas7.com

*Penulis adalah Dr Abdul Ghani bin Md Din.

*Beliau merupakan Pensyarah Kanan Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.