PPAB pertahankan Menteri Alam Sekitar

BALING- Persatuan Pencinta Alam Baling (PPAB) kesal dengan kenyataan berat sebelah seorang aktivis terhadap Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Setiausaha PPAB, Mohd Zaid Ab Mokti berkata, kenyataan aktivitis berkenaan hanya bersifat andaian dan kurang bijak.

“Menteri berkenaan belum pun memulakan tugas tetapi sudah ada kenyataan yang berat sebelah terhadapnya.

“Kenyataannya itu ibarat kenyataan bodoh. Seperti bayi baru lahir adakah wajar kita andaikan bayi itu akan menjadi orang jahat bila dewasa kelak?,”katanya kepada Rentas7.com, hari ini.

Presiden sebuah NGO semalam, dilaporkan media berasa was-was dengan kerja dan perancangan Tuan Ibrahim dalam menerajui kementerian berkenaan.

Wanita itu menyandarkan aktiviti perhutanan di Kelantan yang disifatkan sebagai teruk termasuk mendakwa kehidupan Orang Asli di sana merana sebagai asas kepada kenyataannya.

Bagaimanapun, aktivis itu berharap kementerian berkenaan membuka pintu perbincangan bersama NGO dan bekerjasama untuk masa depan alam sekitar lebih baik.

Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, pelantikan Tuan Ibrahim yang akan menerajui kementerian itu dianggap sebagai satu anugerah yang baik kepada rakyat Malaysia.

“Perwatakan, ketokohan dan integriti yang ada pada beliau memberikan kita keyakinan untuk melihat alam sekitar di negara ini dipelihara dengan baik,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.