PUTRA desak tangkap semua Pati di Bukit Malut

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Kerajaan perlu segera menghalau penduduk yang didakwa pendatang asing tanpa izin (Pati) di Bukit Malut Langkawi.

Ketua Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) cawangan Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, perkampungan pati di kawasan itu perlu dibersihkan.

“Isu ini bukan perkara baharu. Ia didedahkan di banyak saluran termasuk media arus perdana.

“Namun sehingga saat ini, adakah pihak berwajib telah menjalankan tapisan penduduk di situ? jika belum PUTRA tuntut dilakukan segera,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Malaysia bertindak tegas terhadap penduduk asing di Bukit Malut.

“PUTRA juga menuntut kerajaan negeri yang baru memerintah hari ini memberikan komitmen tinggi terhadap isu ini,”katanya.

Beliau berkata, PUTRA mencadangkan pasukan tentera dilibatkan dalam operasi memburu pendatang di Bukit Malut.

“PUTRA yakin perkampungan Bukit Malut yang dikatakan dilindungi pihak tertentu sehingga ada dalam kalangan mereka layak mengundi boleh diselesaikan dengan campur tangan tentera

“Kita juga menuntut supaya penghianat yang melindungi penduduk asing di situ ditangkap walaupun mereka merupakan pemimpin atau bekas pemimpin,”katanya.

Sebelum ini media tempatan melaporkan Pati di kawasan itu menceroboh kebun termasuk tanah perkuburan penduduk.

Jumlah penduduk Bukit Malut juga didakwa semakin bertambah setiap tahun dan terdapat antara mereka mempunyai MyKad.

Dakwaan itu dikuatkan lagi dengan kenyataan Pengerusi dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Langkawi (PPIL), Ali Selamat yang disiarkan Berita Harian pada 23 Jun 2019.

Beliau mendakwa jumlah penduduk Langkawi bertambah secara mendadak daripada kira-kira 100,000 orang pada 2008 kepada 150,000 ketika ini.

Dalam pada itu katanya, PUTRA menuntut semua pati termasuk pemegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UHNCR) dihantar segera ke negara ketiga, bukannya dibiarkan tinggal selamanya di Malaysia.

Mustafa berkata, pihaknya mendapati anak-anak kepada pemegang kad UHNCR sudah mula berani bersuara hak masa depan mereka di negara ini.

“Kita berdepan dua ancaman, pertama daripada Pati. Keduanya kita berdepan generasi anak-anak Rohingya yang mahu menuntut hak di negara ini.

“Bagi saya perkara ini tidak sihat kepada masa depan Malaysia. Adakah kita mahu melihat generasi baru bersaing dalam pelbagai perkara dengan generasi yang asalnya adalah pendatang dan pelarian?,”katanya.

Katanya lagi, usaha menempatkan keluarga pelarian seperti Rohingya perlu dibincangkan serius dengan pelbagai negara lain.

“Jika hanya Malaysia menerima pelarian masalah tidak akan selesai,”katanya

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.