PKUB perlu dana tambahan bantu mangsa banjir Baling

Ahli PKUB bersama Jabatan Amal Malaysia dan Pengakap Kelana Jaya membantu membersihkan rumah mangsa banjir Baling baru-baru ini

BALING – Pertubuhan Kasih Umat Baling (PKUB) memerlukan RM21,000 bagi membantu 100 buah keluarga yang terlibat dengan banjir kilat baru-baru ini.

Setiusaha PKUB, Mohd Zaid Ab Mokti berkata, jumlah berkenaan bagi memenuhi keperluan mereka yang benar-benar terkesan dengan musibah alam itu.

“Mangsa banjir terlibat seluruh Baling melebihi 1000 buah keluarga, tetapi yang benar-benar memerlukan setakat ini adalah 100 keluarga.

“Untuk bantuan awal kita sasarkan untuk menyumbang kabinet dapur kepada penerima terbabit. Maka kita memerlukan dana sekurang-kurangnya RM21,000. Baki kita akan bantu menyumbang barangan seperti tikar getah, toto dan sebagainya,” katanya kepada RENTAS7.

Tragedi banjir pada hujung September lalu telah menjejaskan lebih 1000 buah keluarga melibatkan DUN Kuala Ketil, DUN Kupang dan DUN Bayu.

Kabinet dapur yang akan diagihkan kepada 30 mangsa banjir daerah Baling

Mohd Zaid berkata, pihaknya memilih menyumbangkan kabinet dapur memandangkan ia belum diberikan mana-mana pihak kepada mangsa banjir.

“Mangsa banjir kebiasaannya menerima bantuan seperti bakul makanan dan tong gas. Maka kita memilih untuk menyumbangkan bantuan yang belum ada pihak lain sumbangkan iaitu kabinet dapur.

“Kebanyakan kabinet dapur mangsa banjir telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi. Untuk bantuan awal kita akan sumbangkan dahulu kabinet dapur kepada 30 buah keluarga bagi DUN Kupang dan DUN Kuala Ketil menggunakan dana yang masih ada,” katanya.

Mohd Zaid mencuci karpet mangsa banjir Baling baru-baru ini

Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, Pertubuhan Kasih Ummat Baling juga ada mengagihkan sumbangan kepada keluarga B-40 menerusi bantuan sekampit berat, se ekor ayam dan kupon bernilai RM30 kepada yang memerlukan.

Menurutnya, bantuan itu telah pun digerakkan beberapa bulan lalu.

“Kita mengambil inisiatif membantu dalam sudut kupon bagi membolehkan penerima membeli barang keperluan yang mereka inginkan. Kita tak sumbangkan set bakul makanan sebabnya ia telah banyak diagihkan oleh pihak Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Pertubuhan Kasih Umat Baling turut terlibat dengan misi kemanusiaan selama beberapa hari di sekitar Yan dengan membantu membersihkan beberapa rumah penduduk terjejas banjir kilat yang berpunca dari tragedi aliran puing Gunung Jerai.

Untuk sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam (02048010070356) atas nama Pertubuhan Kasih Umat Baling atau hubungi PKUB di talian 010-5418047

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.