Cubaan seludup ketum di tembok sempadan ‘makan diri’

Lima lelaki tempatan ditahan PPM dalam serbuan awal pagi tadi

KUALA PERLIS– Cubaan lima lelaki tempatan menyeludup 30 plastik hitam berisi daun ketum dari negara ini ke Thailand digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM), hari ini.

Mereka berusia 20 hingga 33 tahun itu ditahan di tembok sempadan negara Bukit Puteh pada jam 4 pagi.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Mohamad Saaid berkata, kesemua suspek ketika serbuan dilakukan sedang memunggah keluar muatan plastik hitam berisi daun ketum dari sebuah kenderaan jenis Proton Persona.

“Ia dipercayai untuk tujuan diseludup ke negara jiran melalui jalan darat tembok sempadan.

“Pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 30 bungkusan plastik hitam seberat kira-kira 300 kilogram mengandungi daun tersebut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan tersebut termasuk kenderaan lebih kurang RM 80,000.

Beliau berkata, mereka ditahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah ( IPD) Kangar untuk siasatan lanjut.

Rentas7/Foto: PPM

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.