PH terdesak, terpaksa bawa Anwar lawan Dato’ Najmi

Dato' Najmi lebih layak dari segi kepimpinan berbanding Anwar Ibrahim kata bekas seorang ahli dan pemimpin ABIM

 

BALING– Setelah membuat kemunculan di Kupang pada Jumaat lalu, PMX dikatakan bakal membuat penampilan semula di sini pada 11 Ogos ini.

Difahamkan, beliau akan hadir di beberapa kawasan di Baling termasuk dalam DUN Kupang.

Jika desas desus itu benar pun, kubu Perikatan Nasional (PN) di Baling dilihat tidak dapat dirobohkan lagi bahkan usaha PH itu boleh dianggap sia-sia.

Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan terdesak memburu kemenangan di Baling khususnya DUN Kupang yang ditandingi wakil komponen mereka iaitu parti Amanah.

PH sukar menggugat PN di Kupang berikutan faktor calon mereka dari Amanah tidak dikenali ramai termasuk DUN Kupang bukanlah kubu bagi PH apatah lagi untuk Amanah.

Tindakan PH membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu bertujuan menggunakan popularitinya bagi memikat pengundi.

Bagaimanapun hasil tinjauan RENTAS7 mendapati penyokong PN tidak goyah pendirian dengan kehadiran PMX.

Bahkan ada dalam kalangan penyokong PN khususnya pengundi muda dengan berseloroh mengatakan ‘ duit ambil, baju buang dalam tong sampah tapi pangkah tetap PN’.

Ceramah Kerajaan Perpaduan yang menghimpunkan pemimpin UMNO, PKR, Amanah dan DAP di Kupang gagal mencapai objektif walaupun sasaran mereka adalah menarik penyokong PAS dan atas pagar.

Justeru dalam keadaan terdesak, PH berkemungkinan besar membawa PMX sekali lagi.

Pertembungan kali ini dilihat lebih kepada perlawanan Anwar Ibrahim menentang calon PN Kupang, Brigadier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad.

Kedua-dua pemimpin ini saling mengenali bahkan pernah mempunyai hubungan baik sewaktu dalam ABIM dan Pakatan Rakyat.

Ia bukanlah perlawanan mudah bagi Anwar memandangkan Dato’ Najmi amat mengenali ‘sikap’ sebenar pemimpin itu sejak di  sekolah.

Dalam erti kata lain rahsia Anwar dalam ‘poket’ Dato’ Najmi.

Ramai bekas ahli ABIM sendiri menyatakan Dato’ Najmi mempunyai kriteria seorang pemimpin sebenar berbanding Anwar Ibrahim yang lebih berusia.

“Dato’ Najmi sangat dikenali dalam ABIM dulu..dari sudut kepimpinan dan ilmu, beliau lebih hebat jika dibandingkan dengan Anwar. Bezanya Dato’ Najmi bersama PAS dan Anwar dalam PKR,” kata bekas pemimpin ABIM yang enggan namanya disiarkan .

Dibantu dengan aura Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pengundi sudah boleh membaca apakah akan berlaku kepada PH di Kupang.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.