PH kini king maker, bakal tentu tarikh PRU-15

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Pakatan Harapan (PH) akan “membantu” mempercepatkan Pilihan Raya Umum (PRU-15) yang dijangka akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) Datuk Mustaffa Idrus berkata, PH kini sebagai “king maker” terhadap kestabilan kerajaan sedia ada.

Menurutnya, peletakan jawatan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini memberikan bayangan awal kerajaan baru bakal dipilih melalui pilihan raya.

“Lebih cepat PH menarik Ahli Parlimen PN keluar sehingga mengurangkan majoriti membentuk kerajaan, lebih cepat PRU15 akan diadakan.

“Kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen bagi memberikan laluan PRU-15 terletak di tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,”katanya mengulas isu peletakan jawatan Shahruddin Md Salleh sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, hari ini.

Beliau berkata, PRU-15 merupakan jalan paling tepat meleraikan perebutan kuasa sekaligus membentuk kerajaan lebih stabil.

“Amat mustahil untuk sesebuah negara mempunyai tiga kerajaan dalam tempoh lima tahun kerana tindakan itu akan memberikan kesan buruk kepada kepentingan negara terutamanya faktor ekonomi.

Datuk Mustaffa Idrus

“Rakyat juga amat bosan dengan drama perebutan kuasa yang berlaku ketika PH perintah sehinggalah ke hari ini. PAMM juga amat menantikan PRU-15 diadakan secepat mungkin,”katanya.

Shahruddin Md Salleh sah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya namun mengambil keputusan untuk kekal bersama PN.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.