MACMA bantu pesakit strok dihantar dapatkan rawatan

Pihak MACMA menghubungi ambulans bagi membantu pesakit

KULIM-Persatuan Cina Muslim daerah Kulim (MACMA) mengambil inisiatif menghubungi ambulans selepas salah seorang rumah asnaf yang diziarahi merupakan pesakit terlantar.

Pengerusinya, Muhamad Hadi Firdaus Ang berkata, ketika sampai di rumah pesakit pada 29 Oktober lalu,Mohamed Zulkifli Mohammed Daud,53,sedang menahan kesakitan akibat buasir selain strok.

“Bagi memastikan keadaannya selamat, kami segera hubungi ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Alhamdulillah pesakit yang merupakan suami kepada Nurul Atikah Chooi Abdullah,43, telah dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Artikel berkaitan:

http://rentas7.com/ayah-demimu-aku-korbankan/

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya pernah menziarahi keluarga Atikah pada Oktober.

“Kunjungan kami yang kedua ini bagi menyampaikan zakat dan sumbangan daripada ahli MACMA, sahabat dakwah dan orang perseorangan,”katanya.

Firdaus Ang kiri bersama ahli MACMA menyampaikan bantuan kepada salah sebuah keluarga

Beliau berkata, hasil tinjauan sebelum ini mendapati keluarga Atikah seramai sembilan orang tinggal dalam rumah dhaif.

“Atikah tinggal bersama suami, tujuh anak serta ibu mertua. Empat orang daripada anaknya masih bersekolah manakala seorang lagi belum tamat pengajian di pondok.

“MACMA telah menghubungi tukang rumah bagi membaiki kerosakan keluarga ini. Kos akan ditanggung pihak MACMA dan rakan-rakan yang prihatin.

“Insya ALLAH, rumah ini akan dibaiki dalam masa terdekat,”katanya.

Beliau berkata, zakat dan sumbangan lain turut diserahkan kepada dua lagi keluarga asnaf di Baling.

“Ketiga-tiga keluarga ini mengucapkan terima kasih kepada MACMA. Kami harap bebanan sedang ditanggung mereka dapat diringankan,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.