Pesawat EC725 AP TUDM digerakkan bantu mangsa banjir

Satu tan makanan diagihkan ATM kepada mangsa banjir di Pahang hari ini

TEMERLOH – Pesawat EC725 AP Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digerakkan untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di sini hari ini.

Bantuan sebanyak satu tan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah berupa makanan dan bahan keperluan asas.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata, bekalan makanan dan keperluan asas itu diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, ia dihantar ke lokasi yang terjejas akibat banjir iaitu di daerah Temerloh seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Terua, SK Lanchang, SK Desa dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Machang.

“Pesawat EC725 AP dari No 10 Skuadron dikendalikan oleh Mej Nik Mohd Zaki bin Nik Mohd Amin TUDM selaku Komander pesawat dan dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Lt Nor Hanani binti Saharudin TUDM serta 4 orang anak kapal.

“Situasi banjir di Daerah Temerloh yang semakin meruncing berikutan kenaikan paras air Sungai Pahang sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banyak laluan di sekitar kawasan penempatan tidak boleh dilalui menyebabkan mereka terputus hubungan dan hanya boleh diakses melalui jalan udara,” kata kenyataan.

Penugasan yang mengambil masa hampir 3 jam bermula dari jam 10.20 pagi dan selesai sepenuhya pada jam 1.10 petang.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.