Belum ada MyKad, pelajar Tingkatan 1 rungsing masa depan

Hassan meneliti sijil lahir Nur Asyikin

BALING– Masih belum mempunyai MyKad sekalipun usianya telah menjangkau 13 tahun ini.

Nor Asyikin Abd Rahman yang juga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Pegang kini runsing memikirkan masa depannya.

Masalah itu timbul apabila kesukaran mendapatkan pengesahan waris akibat penceraian kedua orang tuanya.

“Saya harap dapat memiliki MyKad demi masa depan diri saya terutama untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada Rentas7.com semalam.

Anak keempat daripada lima beradik itu kini tinggal bersama abang dan kakaknya di sebuah rumah di Kampung Lubok Kabu.

Abang, Nor Hakimi,18, berkata, masalah mendapatkan MyKad adiknya berpunca daripada ketiadaan waris.

“Ayah dan ibu sudah bercerai. Adik ada pergi dengan Maksu untuk pohon Mykad, tapi tak boleh kerana pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mahu pengesahan waris,” katanya yang menjelaskan pengesahan perlu dibuat dengan kehadiran ibu atau ayahnya.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN KUPANG, Hassan Saad berkata, pihaknya akan berusaha menyelesaikan masalah MyKad pelajar terbabit.

“Kita telah turun tinjau. Hasil semakan dokumen saya dapati pelajar itu lahir di negara ini. Ibu dan ayahnya juga merupakan warganegara.

“Insha ALLAH kita akan membantu proses dokumentasi pelajar berkenaan supaya dia dapat memiliki MyKad demi masa depannya,” katanya.

Hassan berkata, hasil tinjauan mendapati rumah didiami adik beradik itu perlu diperbaiki.

Hassan meninjau keadaan rumah yang dhaif didiami lima beradik itu

“Struktur dalam rumah di bahagian atas telah reput manakala bumbungnya telah bocor. Kita akan bantu sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Hassan mengunjungi keluarga terbabit dan menyampaikan sumbangan barangan makanan.

Untuk sebarang sumbangan boleh melalui Ustaz Hassan di talian 019-4586793.

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.