Pintu empangan runtuh, pesawah bakal putih mata

Penduduk terpaksa bergotong royong membina pintu empangan

KUALA KETIL– Pintu empangan yang pecah dan tidak diperbaiki pihak berwajib menyebabkan pesawah di Kampung Guar Chempedak di sini bakal kehilangan pendapatan mereka.

Wakil pesawah, Azzahari Osman, 52, berkata, pintu empangan yang membekalkan air sungai ke petak sawah mereka runtuh sekitar bulan Januari atau Februari lalu.

Ekoran masalah itu katanya, sawah padi seluas 30 hektar diusahakan 18 pesawah di kawasan itu tidak dapat menerima air dengan sempurna.

“Apabila pintu empangan tiada, air tidak boleh masuk. Jika hujan sekalipun air tetap tak boleh disalirkan ke dalam sawah.

“Masalah ini telah kami panjangkan kepada pihak berwajib, tapi jawapan yang selalu kami terima ialah peruntukan tiada,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Azzahari berkata, usia padi yang terlibat telah memasuki umur 50 hari dan jika keadaan ini berterusan sumber hasil mereka akan musnah.

Bendang penduduk tidak dapat diusahakan ekoran ketiadaan sumber air dari sungai

“Ada juga pesawah yang baru nak mulakan tanaman, tapi bila air tidak ada nak buat macam mana?,” katanya yang amat kesal dengan tindakan lewat jabatan berkaitan.

Bagi memastikan sumber pertanian mereka selamat, penduduk telah bergotong royong membina pintu empangan sementara beberapa hari lalu.

“Tetapi dengan keadaan hujan lebat sejak kebelakangan ini, kami tidak tahu sampai bilakah empangan yang dibina dengan kayu-kayu pokok dan tanah itu akan bertahan.

“Itupun batu kasaran dan tanah untuk bina empangan tu masih belum cukup.

“Kami jangkakan pintu empangan sementara itu bertahan dalam tempoh sebulan,” katanya.

Azzahari kanan mengiringi ADUN Kuala Ketil Mejar (B) Mansor Zakaria (tengah) yang datang memantau lokasi pintu empangan sementara.

Dalam pada itu, Azzahari dan para pesawah merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria yang menyumbangkan wang tunai bagi aktiviti gotong royong membina pintu empangan sementara.

Katanya, penduduk memahami tugas ADUN yang hanya menjadi perantaraan dan tidak mempunyai dana besar memperbaiki kerosakan empangan tersebut.

“Kami semua amat hargai bantuan ADUN Kuala Ketil yang memberikan duit bagi kerja-kerja gotong royong. Beliau amat prihatin dengan masalah kami.

“Saya dan para pesawah berharap Exco Pertanian dapat turun dan tinjau masalah kami ini,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.