Penyeludup kayu warga Indonesia ditahan ATM

Penyeludup yang kita Pati berjaya ditahan ATM

KUCHING– Empat warga Indonesia bukan sahaja masuk secara haram, malah menyeludup masuk kayu bergergaji ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

Tindakan mereka bagaimanapun digagalkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen), semalam.

Sel Perhubungan Raya, Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam kenyataan berkata, mereka ditahan sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan sempadan di lorong-lorong tikus sekitar Sektor Tebedu.

“Hasil siasatan yang dilaksanakan mendapati kesemua mereka berasal dari Entikong, Indonesia dan sedang menuju ke Sibu untuk mendapatkan pekerjaan.

“Kesemua pendatang tanpa izin ( PATI ) tersebut telah diusir keluar dari Malaysia setelah laporan Polis dibuat di Balai Polis Tebedu,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, sepasukan pasukan tentera telah menjumpai longgokan 183 batang kayu bergergaji dari pelbagai spesis kayu di lokasi berasingan.

Longgokan kayu daripada pelbagai spesis ditemui ATM

Kenyataan berkata, ia ditemui ketika
sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan rondaan di Kampung Danau Melikin, terletak kira-kira 200m dari sempadan Malaysia – Indonesia.

Menurutnya, ia dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui aktiviti pembalakan haram di sempadan Malaysia-Indonesia pada lewat petang 2 Disember yang lalu.

“Hasil maklumat daripada penemuan tersebut, wakil daripada Pejabat Hutan Wilayah Kuching telah datang ke lokasi pada petang 4 Disember dan mengesahkan ia berada di kawasan Malaysia dan kegiatan pembalakan tersebut adalah tidak sah.

“Kesemua kayu bergergaji tersebut yang dianggarkan bernilai RM4,575.00 telah dirampas dan diserahkan kepada pihak bertanggungjawab,”katanya.

Menurut kenyataan, ATM menerusi Tentera Darat akan terus komitmed dalam usaha mengawal sempadan daratan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara tanpa mengira batasan waktu.

Rentas7.com/ Foto: ATM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.