Dr. Noor Hisham bimbang bebanan fasiliti kesihatan, rakyat penentu

KUALA LUMPUR– Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar) melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata, sekiranya berlanjutan, fasiliti kesihatan negara akan menanggung beban yang tinggi semula.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia setakat hari ini telah mencecah lima angka iaitu 10,031 kes.

“Kes aktif yang juga kes kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kian hari.

“Manakala kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga didapati semakin meningkat,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, berdasarkan data terkini bagi 15 orang pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), didapati tiga pesakit memerlukan bantuan pernafasan, enam pesakit merupakan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Beliau berkata, sembilan pesakit lagi berusia 21 tahun hingga 56 tahun dan mereka daripada Kluster Sungai.

“10 pesakit didapati mempunyai latar belakang penyakit kronik dan 14 pesakit mendapat jangkitan dari dalam negara manakala satu (1) pesakit mendapat jangkitan dari luar negara. Kesemua pesakit adalah warganegara Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selain warga emas yang dijangkiti COVID-19, golongan yang lebih muda dan mempunyai penyakit kronik juga dikesan mempunyai gelaja, penyakit dan komplikasi yang lebih serius.

Menurutnya, golongan ini perlu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lebih rapi.

Beliau berkata, bagi mengelakkan falisiti kesihatan menanggung bebeban , setiap individu daripada semua peringkat dan lapisan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dan patuh kepada SOP serta nasihat yang dikeluarkan Kerajaan.

“Orang ramai digesa agar terus patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan amalkan kelaziman baharu dalam usaha mencegah penularan COVID-19.

” Amalan penjarakan fizikal yang selamat (physical distancing), kerap menjaga kebersihan tangan dengan mencuci dengan air dan sabun serta pemakaian alat pelitup muka (facemask) di tempat awam dan tempat yang sesak perlu diamalkan setiap masa.

“Hanya dengan kerjasama semua lapisan dan peringkat masyarakat kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.