MOSTI tubuh Pasukan Khas Saringan Covid-19

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku peneraju agenda sains, teknologi dan inovasi (STI) negara telah mengambil beberapa inisiatif dalam usaha untuk
membendung wabak Covid-19 yang kini menular.

Bagi menyokong dan mendukung sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencapai 16,000 ujian sehari bermula April ini, seperti diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah kelmarin, MOSTI telah mengambil inisiatif untuk membentuk satu Pasukan Khas Saringan Covid-19 bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Melalui mesyuarat MOSTI-KPT pada 20 Mac lalu, kedua-dua kementerian telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan khas saringan MOSTI-KPT bagi melaksanakan ujian saringan Covid-19 di 10 buah makmal diagnostik iaitu di institut penyelidikan di bawah MOSTI (sebuah makmal bergerak), institut pengajian tinggi serta di hospital universiti.

Menteri MOSTY, Khairy Jamaluddin berkata, satu protokol standard sedang dibangunkan bersama pihak KKM untuk digunakan oleh kesemua pusat pemeriksaan ini.

Kesemua makmal ini mampu melaksanakan sebanyak 1,414 ujian sehari. 

“Pihak KKM menerusi Institute for Medical Research (IMR) juga akan melatih staf/kakitangan makmal saringan Covid-19 dengan protokol standard yang bakal diwujudkan,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, ini bermakna sebanyak 42,420 ujian saringan akan dilaksanakan oleh institut penyelidikan dan IPT dalam tempoh 30 hari bagi membantu meringankan beban KKM.

“Inisiatif itu merupakan hasil perbincangan saya dengan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Dr. Adham Baba serta Menteri Komunikasi dan Mutimedia, Datuk Saifuddin Abdullah melalui Mesyuarat Kerjasama Strategik KKM-MOSTI-KKMM yang kami pengerusikan secara bersama bagi mengawal penularan wabak Covid-19 pada 23 Mac 2020 di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia,”katanya.

Khairy berkata, selain itu, selaras dengan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April 2020 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, MOSTI sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengekang penularan wabak ini.

“Antaranya adalah mempercepatkan proses penilaian kit ujian diagnostik
Covid-19 yang dibangunkan oleh Syarikat Medical Innovation Ventures
Sdn. Bhd. (Mediven) yang dibiayai menerusi Malaysia Technology
Development Corporation (MTDC).

“MOSTI juga sedang membangunkan aplikasi pemetaan kawasan
penularan Covid-19 yang akan membantu pihak berkuasa melakukan
pemantauan yang lebih rapi serta sebagai amaran dan peringatan kepada orang ramai untuk menjauhi kawasan terlibat.

“Oleh itu, saya berharap orang ramai akan kekal tenang dan mematuhi
PKP sehingga 14 April ini dengan duduk di rumah supaya kita sama-sama dapat mengekang penularan Covid-19,”katanya.

Jelas Ahli Parlimen Rembau itu, kesemua kementerian dan agensi kerajaan sedang melakukan segala yang terdaya untuk memerangi wabak ini.

“Diharapkan usaha kami ini dapat dilaksanakan secara berkesan kerana
tugas menangani wabak Covid-19 ini bukan terletak di bahu KKM
semata-mata tetapi perlu turut digalas oleh semua agensi kerajaan dan
masyarakat,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.