Anwar, Mat Sabu dan Guan Eng putuskan segerakan tukar kerajaan

Anwar bersama rakan-rakannya dalam PH

KUALA LUMPUR-Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk mengambil alih kerajaan dengan menyegerakan usul undi tidak percaya dalam Dewan Rakyat.

Kenyataan bersama pemimpin PKR, Amanah dan DAP, memberikan alasan penurunan penarafan Malaysia dari AAA- ke BBB+ pada 4 Disember oleh Fitch Ratings sebagai sebab kerajaan perlu ditukar.

“Ini adalah satu tamparan hebat buat Kerajaan, khususnya Menteri Kewangan,”kata kenyataan itu hari ini sambil menambah telah menerima laporan perkembangan politik di Perak.

Kenyataan itu melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Kenyataan berkata, penurunan itu menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu.

“Kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya.

“Namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini,”katanya.

Kenyataan berkata, Perdana Menteri seharusnya mengangkat prinsip ketelusan dan tatakelola yang baik.

Menurutnya, ia dengan pelaksanaan langkah-langkah seperti tender terbuka dan pelantikan profesional.

Kata kenyataan, ia bukannya dengan melantik ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) namun malangnya tidak berlaku di bawah pentadbiran sedia ada.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan berpendirian bahawa Kerajaan perlu menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa Ahli-Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember,”katanya.

Tambah kenyataan, langkah itu demi menamatkan spekulasi berkaitan ketidaktentuan halatuju politik, merancakkan semula pertumbuhan ekonomi, dan mengembalikan keyakinan terhadap pentadbiran negara.

Pada Ogos lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendedahkan sebanyak 101 projek bernilai RM6.61 bilion dibuat secara terus ketika pentadbiran PH.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.