Membesar tanpa jamah walau sebutir nasi..

Aiman tengah bersama bersama Mohd Azman dan Gayah

BALING– Seorang kanak-kanak membesar tanpa nasi sejak lahir, sebaliknya hanya menjamah makanan berasas tepung gandum.

Muhammad Aiman Mohd Azman  dari Kampung Bawah Gunung akan bersekolah Tingkatan Satu tahun depan.

Ayahnya Mohd Azman Md Rejab,43, berkata, Aiman sudah sebati hidup dengan roti sejak kecil.

“Dari kecil memang dia tak makan nasi. Jika makan, dia akan luah atau muntah balik.

“Saya dan isteri (Gayah Hassan, 46) tiada jawapan mengapa Aiman tak lalu makan nasi,” katanya kepada wartawan Rentas7.com hari ini.

Menurutnya, sejak kecil Aiman hanya makan makanan seperti roti, biskut, donat roti pizza dan roti canai.

Katanya, Aiman juga tidak lalu untuk makan lauk berkuah.

“Lauk paling dia suka ayam goreng, waktu kami sekeluarga makan nasi dengan lauk, Aiman kadang-kadang makan ayam goreng saja.

“Minuman pula Aiman hanya minum air masak dan milo. Minuman lain dia sangat-sangat jarang diminum,” katanya.

Walaupun tanpa nasi, Azman berkata, anaknya membesar seperti dua abangnya berusia 19 dan 22 tahun malah kesihatannnya juga normal.

“Abang-abangnya makan nasi, cuma mai kat Aiman saja jadi lain sedikit. Tapi alhamdulillah dia pun sihat macam biasa.

“Bahkan saya lihat Aiman ketika ini lebih tinggi berbanding dua abangnya ketika mereka berusia 12 tahun,”katanya.

Bagaimanapun Azman runsing memikirkan nasib Aiman yang berminat menyambung pelajaran di sekolah berasrama tahun depan.

“Bukan runsing apa, kami terfikir jika Aiman layak ke asrama, adakah pihak asrama dapat menyediakan makanan seperti yang dia boleh makan.

“Bukannya memilih, tapi itulah asas pemakanannya sejak dulu,” katanya.

Azman yang mengalami cacat penglihatan kategori B1 menjalankan perniagaan refleksologi bersama isterinya yang mengalami masalah serupa bagi kategori B3 di rumah yang mereka sewa .

Untuk mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd Azman di talian 013-4337178 atau salurkan tunai melalui Maybank (152040468420) atas nama Gayah Hassan.

Azman juga mengalu-alukan siapa-siapa yang mempunyai anak seperti Aiman untuk menghubunginya bagi berkongsi pendapat dan pandangan.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.