Padah lepak, 25 remaja dikompaun

Remaja-remaja ini dikompaun kerana melanggar arahan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan

KOTA TINGGI-Padah melepak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 25 remaja dikompaun di Taman Tasik Taman Sri Saujana semalam.

Polis daerah Kota Tinggi dalam kenyataan berkata, mereka yang berusia 16 hingga 20 tahun dikompaun atas kesalahan berkumpul tanpa alasan dan didapati melepak di taman tasik berkenaan.

“Pemantauan telah dilakukan oleh pihak berkuasa dan mendapati terdapat sekumpulan remaja sedang melepak di kawasan taman tasik tersebut tanpa menghiraukan arahan dan SOP yang telah dikeluarkan.

“Dalam operasi tersebut, sebanyak lapan keping saman juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti modifikasi kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan,”kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan, tiga lagi lelaki dalam operasi itu turut dikompaun kerana gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

“Ia selaras dengan Akta 342 iaitu kesalahan tidak menjaga jarak dan duduk semeja disebuah restoran di Taman Laksamana, Kota Tinggi.

“Penguatkuasaan dan pemerkasaan PKP dari PDRM Kota Tinggi akan dibuat secara berterusan dan menyeluruh meliputi seluruh daerah Kota Tinggi. Mana-mana individu yang ingkar, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1000/- atau penjara selama (6) bulan atau kedua-duanya,”katanya.

Rentas7/ Foto: Polis Kota Tinggi

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.