Miliki Mykad palsu, 11 warga asing ditahan

Warga asing berkenaan ditahan dalam operasi semalam

PUTRAJAYA– Seramai 11 warga asing memiliki MyKad palsu ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), semalam.

Mereka ditahan di sebuah kilang di Jalan Bukit Kemuning Batu 6 Shah Alam dalam operasi mencegah dan membanteras pemalsuan dan penyalahgunaan kad pengenalan diri.

JPN dalam satu kenyataan berkata, operasi terancang bermula jam 7 pagi itu digerakkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) Jabatan Pendaftaran Negara.

Menurutnya, seramai 20 anggota penguatkuasa JPN Putrajaya terlibat dalam operasi berkenaan.

“Operasi dilaksanakan ke atas sebuah kilang di Jalan Bukit Kemuning Batu 6 Shah Alam. Ini berikutan JPN telah menerima aduan awam yang memaklumkan terdapat pekerja di kilang tersebut menggunakan kad pengenalan palsu.

“Pemeriksaan ke atas pekerja kilang berkenaan berjaya menahan sebelas (11) orang pekerja warga asing kerana didapati melakukan kesalahan memiliki kad pengenalan palsu,”kata kenyataan itu hari ini.

Kata kenyataan itu lagi, kesemua warga asing berkenaan telah didakwa di mahkamah Shah Alam hari ini.

“Pihak Pengurusan kilang adalah diingatkan supaya memastikan mereka yang diambil bekerja mestilah mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Warga asing terbabit kantoi hasil maklumat awam

“JPN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan sebegini,”katanya.

Kenyataan berkata, operasi penguatkuasaan akan sentiasa dilaksanakan di seluruh negara bagi membanteras penyalahgunaan dokumen kad pengenalan.

Orang ramai diseru untuk tampil memberikan maklumat berhubung sebarang penyelewengan dengan mengemukakan maklumat lanjut berkenaan ke emel rasmi JPN iaitu pro@jpn.gov.my.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.