Menteri turun padang, suntik moral penoreh getah

KUALA KETIL-Lawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali di sini kelmarin memberikan suntikan moral kepada golongan penoreh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, banyak perkara dibincangkan di antara menteri, Lembaga Getah Malaysia ( LGM) dan pembeli berlesen dalam lawatan berkenaan.

Menurutnya, perbincangan tertumpu berkaitan tentang cara lebih mudah untuk penoreh menuntut Insentif Pengeluaran Getah (IPG) termasuk cadangan insentif terbaik kepada golongan berkenaan.

“Dalam tinjauan ini Dr.Khairuddin juga diberi penerangan oleh pembeli dan LGM secara terus.

“Sesungguhnya lawatan ini penting bagi moral kepada penoreh yang tertekan dengan harga rendah,”katanya.

Terdahulu, Dr Khairuddin diriingi Mansor melawat pusat pembelian getah berlesen di Kampung Tembak A.

Mansor berkata, beliau berharap lawatan itu memberikan jalan penyelesaian terbaik dalam membantu penoreh getah mendapat hasil lebih selesa.

“Selaku ADUN Kuala Ketil, saya ucapkan jutaan terima kasih atas kesungguhan menteri untuk turun padang serta dapatkan maklumat secara terus dengan semua pihak yang terlibat dalam industri getah.

“Semoga ada harapan dan sinar yang cerah buat warga penoreh,”katanya.

Untuk rekod, harga getah skrap kini di bawah paras RM2.00 bagi sekilogram.

Rentas7.com

Keterangan gambar: Mansor duduk dari dari kanan, Dr. Khairuddin duduk dua  dari kiri bergambarkenangan dalam lawatan tersebut.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.