Hajat Indonesia dimusnahkan Safawi

KUALA LUMPUR- Hajat Indonesia untuk membalas dendam ke atas Malaysia tidak kesampaian apabila tewas 2-0 kepada Harimau Malaya bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Asia 2023 Kumpulan G di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pada perlawanan 5 September lalu, Harimau Malaya membenam Sang Garuda 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno.

Malaysia memperolehi gol tunggal pada separuh masa pertama melalui sepakan percuma diambil Safawi Rasid pada minit ke-30.

Pada minit ke-36 pelawat hampir menyamakan kedudukan ketika situasi kelam kabut di depan gawang tuan rumah.

Namun percubaan pemain lawan berjaya digagalkan penjaga gol Farizal Marlias sebelum bola dikeluarkan Aidil Zafuan.

Di separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas pasukan namun Indonesia lebih dilihat berjaya menekan kubu skuad kebangsaan.

Pelawat melancarkan serangan kiri dan kanan padang namun digagalkan pertahanan Harimau Malaya.

Ketika anak buah Yeyen Tumena ghairah untuk mengikat kedudukan, Safawi Rasid sekali lagi membuatkan stadium gegak gempita dengan sorakan puluhan ribu penyokong Harimau Malaya apabila menjaringkan gol kedua negara pada minit ke-73.

Gerakan lincah Safawi di sebelah kanan pintu gol gagal dikekang Yanto Basna sebelum membuat rembatan padu menewaskan penjaga gol lawan.

Di hujung permainan, Indonesia dihadiahkan sepakan panalti namun Farizal bertindak cemerlang menafikan rembatan Osas Marvellous.

Harimau Malaya selepas lima perlawanan kini melonjak ke tangga kedua kumpulan dengan pungutan sembilan mata manakala Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.

Vietnam yang seri 0-0 dengan Thailand di Hanoi pada malam ini berjaya mengumpul 11 mata untuk kekal di kedudukan teratas.

Thailand pula turun ke tangga ketiga kumpulan dengan lapan mata manakala Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang tidak bermain satu perlawanan di tempat keempat hasil enam mata.

Rentas7.com/ Foto FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.