Mana suara Maszlee? -Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR- Pemuda UMNO menyoal di mana suara Menteri Pendidikan berhubung isu graduan Universiti Malaya (UM) yang berkelakuan biadap pada sidang konvokosyen, baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau pelik apabila menteri berkenaan mendiamkan diri daripada isu berkenaan.

“Tatkala Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching begitu lantang menekan pentadbiran UM untuk tidak mengambil tindakan ke atas kebiadaban Wong Yan Ke (graduan UM).

“Di manakah suara Menteri Pendidikan ,Dr Maszlee Malik?,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiada suara mempertahankan graduan Melayu yang digantung pengajian gara-gara berselfie di atas pentas ketika Majlis Konvokesyen UiTM berlangsung.

Namun katanya, apabila graduan lain membawa plakad bantahan dan menjerit-jerit protes di atas pentas ketika Majlis Konvokesyen tidak diambil tindakan bahkan dijulang sebagai wira.

Pada 14 Oktober lalu, Wong Yan Ke mencemarkan Sidang Kelima Istiadat Konvokosyen UM kali Ke-59 dengan kelakuan dianggap biadap.

Graduan kejuruteraan awam itu menayang dan mengeluarkan plakad tertera frasa “Tolak Rasis,” dan “Undur VC” serta menjerit “Ini Tanah Malaysia”.

Tindakan itu mengundang kecaman pelbagai pihak yang mahu lelaki itu dikenakan hukuman setimpal.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.