Tidak benarkan agih bantuan, Perkeba cadang kerjasama dengan pihak zakat

BALING– Pertubuhan Penduduk daerah Baling (Perkeba) menuntut kerajaan mengkaji semula arahan tidak membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) mengagihkan bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Perkeba, Jhangir Khan Kathem Khan (gambar) berkata, Perkeba bimbang sumbangan ingin disalurkan kepada golongan terjejas akibat COVID-19 tidak menepati sasaran sekiranya menggunakan “pihak tengah” menyampaikan bantuan.

Adakah pihak tengah mampu mengagihkan bantuan kepada semua sasaran yang telah dikenal pasti pihak NGO?

“Tambahan pula, tiap-tiap daerah mempunyai  bilangan kampung yang banyak,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan sumbangan tepat kepada senarai penerima, Perkeba mencadangkan NGO bekerjasama dengan Pusat Zakat Daerah atau penolong amil di setiap kariah.

“Dengan cara ini, Insya ALLAH sasaran NGO lebih menepati sasaran kerana penolong amil lebih mengenali anak-anak kariah mereka,”katanya.

Pada 29 Mac, Malaysia Relief Agency (MRA) menerusi kenyataan dikeluarkan media turut memohon kerajaan memperhalusi semula arahan tidak membenarkan NGO menyampaikan bantuan terus kepada golongan terjejas COVID19.

Terdahulu pada 28 Mac, kerajaan memutuskan semua NGO hanya dibenarkan menghantar makanan ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak dibenarkan mengagihkan makanan secara terus kepada penerima.

Sebaliknya, hanya Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahan Awam diberikan kebenaran menyampaikan bantuan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan until mengawal Pergerakan sewaktu PKP.

Rentas.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.