Hina YDPA, pemimpin DAP disiasat, seorang ditahan

Kenyataan Ronnie yang berbaur ugutan terhadap YDPA

KUALA LUMPUR– Polis telah memulakan siasatan terhadap pemimpin DAP, Ronnie Than Kiew kerana memuat naik status Facebook berbaur penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Siasatan turut dibuat kepada tiga lagi individu yang memuat naik status kebencian terhadap YDPA di Facebook dan Twitter.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Huzir Mohamed berkata, Ronnie memuat naik status di Facebooknya pada 21 Oktober yang tertulis “Now in Bangkok, They are saying no to the king”.

Menurutnya, kes kedua melibatkan penghinaan kepada YDPA telah dimuat naik di Twitter Uncle Ireeve pada 25 Oktober lalu .

“Siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan suspek dan merakam keterangan saksi-saksi yang kompeten serta mendapatkan keterangan dokumen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis pada hari sama turut menyiasat kenyataan berbaur penghinaan berikutnya dimuat naik di laman Twitter, Liew Nip Nan.

Menurutnya, individu tersebut mempertikai video berkaitan tujuh wasiat Raja-raja Melayu di laman rasmi Twitter Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, pada 26 Oktober, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USNJ) telah menangkap lelaki berusia 52 tahun tersebut di kawasan Cheras Kuala Lumpur.

“Pasukan serbuan turut merampas perkakasan yang disyaki digunakan untuk membuat kenyataan yang tular,” katanya

Beliau berkata, reman ke atas suspek akan dipohon dan siasatan lanjut diteruskan.

Beliau berkata, siasatan pada 26 Oktober juga dibuat ke atas pemilik akaun Facebook Ho Ruey Terng kerana memuat naik status penghinaan kepada YDPA dan suspek sedang diburu.

Huzir Mohamed berkata, tindakan tegas akan diambil kepada semua suspek kerana menghasut.

“Kesemua pemilik akaun Facebook dan Twitter yang dikenal pasti diminta tampil untuk menyerahkan diri di USJT Bukit Aman.

Kenyataan Liew Nip Nan yang menghina YDPA

“Sekiranya ingkar PDRM akan mengesan dan menangkap mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, semua rakyat Malaysia digesa menghayati Prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara bagi mengelakkan perlakuan kencederungan menghasut terhadap Raja atau kerajaan.

Siasatan bagi semua kes diklafikasikan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau kerajaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.