Guruh Mimpi selit mesej mendalam

Guruh Mimpi di pasaran minggu depan

KUALA LUMPUR-Novel Guruh Mimpi yang bakal berada di pasaran dalam masa terdekat membawa mesej tersirat berkaitan keamanan di Patani Darussalam.

Guruh Mimpi membawa kisah seorang pemuda, Ismaair yang bertekad mencari semula ayahnya, Abdulloh yang hilang tanpa khabar berita lebih sedekad lalu.

Niat Ismaair tidak disenangi ibunya, Mek Ya.

Bagaimanapun Mek Ya dalam keterpaksaan tidak mampu menghalang misi Ismaair mencari Abdulloh.

Buku ditulis dua penulis muda Mohd Hayazie Saad, A.ms Hadi dan seorang novelis Singapura Rohani Din.

Wakil penerbit, Ahmad Faiz, berkata, buku berkenaan dibuat berdasarkan kajian, pemerhatian serta temu ramah dengan masyarakat setempat.

“Novel ini menyentuh suka duka, susah payah dan cabaran hidup masyarakat di Patani Darussalam.

“Kami bersyukur kerana novel ini berjaya dihasilkan dalam keadaan yang sukar,”katanya.

Katanya, selain membawa mesej keamanan, buku berkenaan turut menyentuh beberapa isu rakyat, catatan sejarah sebenar selain kritikan sosial terhadap tingkah laku masyarakat yang bertentangan dengan usaha mencapai kemerdekaan.

“Namun ia dihasilkan dalam bentuk novel bagi memudahkan pembaca mengikuti kehidupan sebenar di Patani Darussalam.

“Salah satu babak yang sedih ialah ketika Ismaair bermalam di Masjid Krisek. Satu malam yang membawa Ismaair terkenangkan semula sejarah Masjid Krisek, masjid yang menjadi keagungan umat Islam Patani,”katanya.

Katanya lagi, buku berkenaan turut memaparkan adegan cinta, persahabatan dan tempur.

Faiz berkata, buku berkenaan mendapat kerjasama penuh daripada beberapa individu dari Patani.

“Antara cabaran yang bakal diterima ialah penerimaan buku ini di Thailand kelak,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.