Majlis High Tech Nation ketengahkan teknologi masa hadapan

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR-Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, (MOSTI) Khairy Jamaluddin mempengerusikan Mesyuarat Majlis High-Tech Nation yang bertujuan merangka hala tuju teknologi sedia ada dan masa hadapan yang berpotensi untuk dibangunkan di Malaysia.

Khairy berkata, majlis itu akan melaporkan sebarang perkembangan secara terus kepada Majlis Sains Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Program dan dasar yang akan dibentuk di bawah majlis ini adalah berpandukan
kepada kerangka MySTIE 10-10 serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021-2030 yang telah saya lancarkan minggu lalu.

“Sebanyak 30 bidang keutamaan
telah dikenal pasti menerusi rangka kerja ini dan majlis ini akan merapatkan jurang yang wujud bagi memastikan ia dapat memberi kesan maksimum kepada setiap bidang keutamaan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, majlis berkenaan akan mengambil peranan secara proaktif dalam mengetengahkan teknologi masa hadapan yang akan melonjakkan kedudukan negara sebagai peneraju teknologi.

“Saya juga telah memilih untuk mengutamakan beberapa program, hala tuju dan dasar agar sesuai dengan keperluan masa kini yang mendesak.

“Antara cadangan yang telah dibentangkan semalam adalah berkenaan perubatan
kepersisan (precision medicine) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”katanya.

Beliau berkata, perubatan kepersisan berasaskan teknologi data raya itu berupaya mendiagnos serta merancang perubatan yang berkualiti dan terjamin bagi seseorang pesakit.

“Selain itu, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) juga telah membentangkan Hala Tuju Inovasi Air Negara yang akan menjamin keselamatan air.

“Menerusi hala tuju ini, sebanyak lima (5) program telah dikenal pasti iaitu sungai yang bersih, rizab margin air, sistem air pintar, pengurangan risiko bencana dan pembiayaan air,”katanya.

Beliau berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula telah membentangkan sembilan (9) hala tuju yang sedang dibangunkan oleh agensi-agensi di bawah kementerian.

“Kesemua hala tuju yang akan dibentangkan pada pertengahan 2021 ini
akan memacu kerajaan untuk merangka pelaburan serta memformulasi dasar terbaik dalam pembangunan teknologi-teknologi tersebut.

“Pelan itu antara lain akan
merangkumi: blok rantai (blockchain); nanoteknologi; robotik; hidrogen; kecerdasan buatan (AI); litar bersepadu dan bahan termaju (advanced materials),”katanya.

Beliau berkata, Akademi Sains Malaysia telah membentangkan cadangan untuk menginstitusikan sebuah badan pemecut pengkomersialan teknologi (Tech-Commercialisation Accelerator) bagi mengetuai dan mengkoordinasi usaha-usaha penyelidikan beradasarkan perniagaan serta ekonomi.

“Penyelidikan dan pembangunan (R&D)
serta sistem penyampaian ini akan dibuat berasaskan permintaan serta keperluan pasaran untuk inovasi-inovasi penganggu (disruptive innovations).

“Saya akan mengumumkan lebih lanjut mengenai perkara ini sedikit masa lagi.

“Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah
membentangkan kertas kerja Teknologi Motosikal: Penyelesaian Kepada Dilema
Kemajuan Ekonomi-Keselamatan dan menjelaskan bahawa 66 peratus daripada kematian di jalan raya melibatkan kemalangan motosikal.

“Kami berharap untuk memberi insentif dalam pembangunan, pengaplikasian dan penggunaan teknologi sedia ada serta akan datang bagi memperbaiki kebolehcapaian kesemua aspek keselamatan jalan raya.

“Bidang yang berpotensi untuk dibangunkan termasuklah teknologi pengujian serta verifikasi, teknologi penghindaran kemalangan, teknologi mengurangkan kecederaan (dalam kemalangan), teknologi pemaduan kembali sosial (social reintegration technology -merujuk kepada teknologi respons pintar awal dan pemulihan) serta teknologi pengurusan dan perancangan strategik,”katanya.

Menurutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air pula telah membentangkan Hala Tuju Inovasi Teknologi Hijau Kebangsaan yang mensasarkan penggunaan teknologi hijau
menjelang 2030 bagi memastikan kemampanan alam sekitar negara.

“Inovasi-inovasi sektoral di bawah pelan ini termasuk perolehan hijau kerajaan, teknologi grid pintar, proses perindustrian hijau, pengawasan sungai melalui Internet Segala Benda (IoT), skim Waste to Energy (WTE) and wealth, pengaplikasian bangunan hijau dan pintar, kenderaan cekap tenaga dan kenderaan elektrik, pertanian bandar serta IoT pengawasan hutan.

“Akhir sekali, dalam kita mengadaptasi perubahan tingkah laku akibat COVID-19, saya telah meminta MOSTI menyediakan satu kertas kerja mengenai Inisiatif Infrastruktur dan Ekonomi Sentuhan Rendah,”katanya.

Beliau berkata, ia memerlukan anjakan paradigma bukan sahaja dalam cara kita berinteraksi sesama sendiri, malahan dengan dunia secara
keseluruhan.

“Antaranya termasuklah penggosok lantai berautonomi, robot pembantu
(membawa barangan) dan sistem pengurusan sisa pintar di pasar-pasar awam.

“MOSTI juga telah melancarkan penggunaan robot di hospital dengan kerjasama KKM serta memulakan modul robotik, dron serta AI di ladang-ladang bersama FELDA,”katanya.

Beliau berkata, beberapa inisiatif ini akan direalisasikan di bawah Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).

“Kebanyakan progam, hala tuju dan dasar sedia ada selama ini telah dimajukan secara berasingan atau bersendirian oleh pelbagai kementerian dan agensi,”katanya.

Beliau berkata, Majlis High Tech
Nation adalah permulaan baharu kepada cara kita membangun dan mengaplikasi
teknologi dalam negara bagi memastikan segalanya selaras dan koheren dengan
keperluan nasional.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.