“Apa salahnya kita ikut kaedah Islam tangani COVID-19”

KUALA LUMPUR-Ustaz Datuk Mohammad Kazim Elias kesal apabila ditohmah selepas mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan ibadah dikaji semula.

Ustaz Kazim berkata, adakah salah apabila beliau mencadangkan kaedah menurut al-Quran dan hadis dalam menangani wabak COVID-19 termasuk meminta SOP berkaitan ibadah dikaji semula.

“Salahkan saya memohon kepada ilmuan, agamawan dan pakar profesional Islam duduk berbincang apa sebenarnya wabak ini kerana ia seolah-olah ‘mengganggu’ cara ibadah,”katanya dalam kenyataan semalam.

Untuk itu, umat Islam diajak berfikir apakah ALLAH menurunkan sesuatu wabak yang akan menganggu suatu sunnah dibawa oleh Nabi utusan-NYA.

“Dan jika ALLAH menurunkan sesuatu musibah maka Nabi juga mengajar kita bagaimana cara melakukan ibadah dalam keadaan musibah tersebut,” katanya.

Terdahulu, Ustaz Kazim ketika soal jawab bertajuk “Merdeka Norma Baharu” mencadangkan supaya SOP yang dilihat tidak seiring dengan Islam dikaji semula.

Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila ada yang mempertikaikan tentang madu dan habbatussauda.

“Saya cuma membuat perbandingan umum. Takkan tidak ada cara terbaik yang dibawa oleh Nabi SAW dan panduan terbesar iaitu Al Quranul Karim di dalam menyelesaikan sesuatu.

“Kita telah mengikut segala yang diarahkan maka apa salahnya kita mengambil pula sesuatu yang ada di dalam Islam,” katanya

Tegas Ustaz Kazim, pandangannya berkaitan SOP dalam ibadah pula bukanlah bererti
beliau seorang yang anti terhadap garis panduan yang ditetapkan.

“Adakah saya membantah SOP ?
Sekolah saya mengamalkan penjarakan sosial, jemaah jugak bersolat seperti mana diarahkan kedudukannya.

“Daripada bacaan suhu sehingga mencatat nama dan My Sejahtera juga dilakukan. Kami mengadakan ujian Swab sebanyak dua kali seperti mana diarahkan,”katanya.

Beliau berkata, sepanjang berceramah beliau tidak pernah mengajak orang membantah SOP apatah lagi jika melibatkan aspek agama kerana ia dipersetujui oleh bahagian fatwa.

“Cuma saya menyuarakan rasa susah hati, melihat keadaan masjid, surau dan yang berkaitan. Bukan senang nak tarik orang ke masjid.

“Saya cuma mengajak untuk melihat daripada sudut lain bagaimana membendung wabak daripada segi pengubatan, pencegahan, kaedah yang boleh diterima masyarakat Islam umumnya,” katanya.

Dalam pada itu, umat Islam dinasihati mengkaji setiap berita yang sampai supaya tidak ditimpa sesuatu musibah yang lain kerana al Quran mengajar untuk menjadi “Tabaiyun”.

“Saya sangat yakin adanya penyelesaian terbaik bersumberkan Al Quran dan Hadis di dalam perkara ini.

“Saya akui saya kurang ilmu memang takdak ilmu pun..tapi saya cuma menyuarakan pendapat dan dalam masa yang sama saya juga mematuhi pelbagai SOP yang ditetapkan

“Adakah menjadi suatu kesalahan menyuarakan pendapat sehingga meminta saya ditahan pihak berkuasa?
Saya insan yang lemah dan saya memohon ampun dan maaf kerana salah memberi pandangan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.