Kes positif COVID-19 turun di Kedah

ALOR SETAR– Kedah terus mencatatkan penurunan kes positif COVID-19 apabila hanya mencatatkan 10 kes hari ini.

Berdasarkan maklumat Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, ia melibatkan tiga kes di daerah Kota Setar, empat di Baling, Kubang Pasu (2) dan Kuala Muda (1).

Lima daripada 10 kes berkenaan ialah
daripada Kluster Tembok, Kluster Bah Ketil (3) dan Kluster Bah Sintok (2).

Ia menunjukkan penurunan ketara berbanding semalam 16 kes dan kelmarin sebanyak 27 kes.

Terdahulu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah mengarahkan penutupan empat sekolah hari ini.

Empat sekolah yang diarah tutup mulai hari ini hingga 18 Oktober ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Gelam dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma di Alor Setar.

Bagi daerah Baling, sekolah yang diarahkan tutup ialah SK Dalam Wang dan SK Kuala Ketil diarahkan tutup mulai esok hingga 19 Oktober.

Semalam JPN turut mengambil langkah sama dengan mengarahkan penutupan sekolah di dua daerah.

Ia membabitkan SMK Bukit Payong dan SK Bukit Pak Kiau dalam daerah Pokok Sena serta SMK Baling dan SMK Bongor dalam daerah Baling.

Orang ramai bagaimanapun diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.