Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor dikenakan PKPB

KUALA LUMPUR– Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 14 hingga 27 Oktober.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Kesihatan Negara (MKN) hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPB itu
selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku, seperti di Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat dan dearah-daerah lain.

“Bagi menyekat penularan wabak ini dari terus merebak, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Apergerakan keluar masuk atau merentas daerah adalah tidak dibenarkan.

Bagaimanapun katanya, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

“Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup,”katanya.

Beliau berkata, masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam adalah ditutup.

“Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan dan pertunangan adalah tidak dibenarkan.

“Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan,”katanya.

Ismail Sabri berkata, semua kegiatan ekonomi, industri dan perkilangan di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.