Kes pemandu berleluasa apabila arak dibenarkan minum terbuka

ALOR SETAR– Kes memandu secara mabuk berleluasa selepasĀ  Exco DAP Selangor membenarkan arak diminum di tempat terbuka, kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahya.

Beliau berkata, sebelum itu kes membabitkan pemandu mabuk jarang didengari meskipun tersebar gambar ramai pemimpin DAP memegang gelas arak.

“Apabila kejadian begini terjadi kita terus teringat kepada arahan bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz seawal tahun 1990an yang mengarahkan agar tiada jualan arak di pasaran terbuka.

“Datang pelbagai kumpulan termasuklah isteri-isteri berbangsa Tionghua mengucapkan terima kasih kepada menteri besar kerana mereka tidak lagi dipukul oleh suami mereka yang mabuk,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Islam amat menitik beratkan aspek memelihara akal iaitu antaranya tidak minum arak bagi menjaga kewarasan minda.

“Bagi pemandu yang mabuk, sudah pasti mereka gagal menjaga keselamatan diri dan orang lain juga.

“Akibatnya semuanya bertebrakan bertaburan lantas bergelimpangan di atas jalan raya. Banyak nyawa terkorban, kerosakan dan kerugian yang besar dan banyak masa terbuang,”katanya.

Ahmad berkata, untuk menjaga kewarasan akal ini, mereka tidak perlu memeluk agama Islam.

“Mereka hanya diminta tidak minum arak di luar rumah sahaja. Di dalam rumah sendiri, itu tertakluk kepada mereka sendiri jika agama mereka membenarkan.

“Dengan mengelakkan mabuk di luar rumah, banyak jiwa dapat diselamatkan. Dengan menjaga minda, semua harta milik anda akan selamat. Orang ramai dan negara akan selamat,”katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, PAS Kedah menggesa pihak berwajib perlu bertindak tegas terhadap aktiviti bebas minum arak.

“Islam meletakkan arak sebagai Ibu segala sengketa kerana itu hukuman berat dikenakan dengan 80 kali sebatan.

“Dosa pula meliputi 10 golongan terlibat dengan arak daripada pembuatan hinggalah kepala tukang jual dan peminum.

“Ini jelas membuktikan arak merosakkan kewarasan akal sedangkan waras minda itulah pemisah antara manusia dan haiwan,”katanya.

Media pada 11 November lalu melaporkan Exco kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han berkata peraturan melarang orang ramai meminum arak di tempat terbuka di Selangor sukar dilaksanakan.

 

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.