Kerajaan pelihara tulisan Jawi, umum Jumaat Hari Jawi

KUALA LUMPUR-Kerajaan mengumumkan Hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ bermula hari ini.

Usaha itu dibuat dalam mengekal dan memperkasakan sebahagian tradisi dan kebudayaan di negara ini.

Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ahli jemaah menteri melalui mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan usul berkenaan pada Rabu lalu.

Menurutnya, kerajaan serius memartabatkan tulisan Jawi yang diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi mulai hari ini.

“Tulisan Jawi akan diperluaskan meliputi penyampaian maklumat menerusi platform media sosial rasmi agensi di bawahnya,”katanya.

Justeru itu katanya, semua agensi di peringkat Persekutuan, Negeri, NGO dan rakyat Malaysia diseru bersama-sama memelihara tulisan Jawi yang merupakan warisan negara.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.