Kelantan nafi lantik Wakil China sebagai penasihat ekonomi

KOTA BHARU-Kerajaan negeri Kelantan tidak pernah melantik mana-mana wakil dari negara China sebagai Penasihat Ekonomi kepada kerajaan negeri.

Pejabat Menteri Besar Kelantan dalam satu kenyataan berkata, penyebaran berita dan gambar yang ditularkan di media sosial merupakan fitnah untuk mencemarkan imej kerajaan negeri.

“Tersebar berita berbentuk fitnah bergambar kononnya Kerajaan Negeri Kelantan telah melantik seorang wakil dari negara China sebagai Penasihat Ekonomi kepada Kerajaan Negeri,”kata kenyataan itu hari ini.

Halaman Facebook yang melemparkan fitnah tersebut

Jelas kenyataan berkenaan, gambar- gambar disebarkan itu bukan seperti didakwa sebaliknya merupakan peristiwa pada tahun 2015.

Menurutnya, ketika itu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerima kunjungan daripada delegasi pelaburan negara China dalam menerokai industri halal hub antara China dan Kelantan.

“YAB Ustaz Dato’ Menteri Besar ketika itu berbesar hati membuat penyampaian sijil kepada Mr Yusof Chia sebagai penghubung dan pemudahcara khas dalam industri halal hub antara negara China dan Kelantan di Pejabat Menteri Besar,”katanya.

Katanya, turut hadir ketika itu adalah, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Anuar Tan.

“Untuk rekod Kerajaan Negeri telah melantik Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Kelantan yang terdiri daripada YBhg Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, YBhg Tan Sri Hamad Kama Piah dan individu tersebut iaitu Xia Baowen dan Bong Hon Liong bukannya anggota majlis tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terkeliru dan terpengaruh dengan berita yang berniat untuk mencemarkan imej Kerajaan Negeri dengan fitnah tersebut,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.