Himpunan Melayu Raya 2025 Patani bertambah kuat

Himpunan Melayu Raya 2025 membawa tema ' Green Melayu Suci Patani'

Laporan wartawan RENTAS7: Isman Patani

 

PATANI-Himpunan Melayu Raya pemuda Patani saban tahun semakin kuat dan teguh seiring dengan kesedaran dan kebangkitan rakyat dalam memperjuangkan dan mempertahankan tanah air.

Himpunan tahun 2025 di Pantai Teluban Daerah Saiburi Wilayah Patani pada raya ketiga Aidilfitri membawa tema ‘Green Melayu Suci Patani’.

Ia menghimpunkan seramai 80,000 atau lebih pemuda dari tiga wilayah iaitu Patani, Narathiwat dan Yala.

Jumlah itu lebih besar berbanding tahun-tahun penganjuran sebelumnya.

Himpunan Melayu Raya 2025 memberikan tumpuan kepada aspek kepentingan menjaga dan memelihara kelastarian alam sekitar dan mempertahankan nilai-nilai suci Patani.

Cuaca yang sedikit mendung dan hujan dalam perjalanan tidak menghalang para pemuda menuju ke Pantai Teluban dari seluruh pelosok kampung.

Mereka meredah jalan raya dengan menunggang dan membonceng bermotosikal, berkereta termasuk menaiki kereta pikap yang ditumpang beramai-ramai.

Pelbagai acara diadakan, antaranya persembahan nasyid, puisi, silat, pidato, ucapan aktivitis Patani dan ikrar pemuda.

Panji-panji Palestin, wilayah, kampung dan mewakili pemuda dari setiap daerah turut dikibar megah dalam himpunan yang berlangsung.

Solat Asar yang dilaksanakan puluhan ribu para pemuda diiringi dengan berdoa memohon keselamatan untuk Patani Darussalam dan keselamatan kepada seluruh umat Islam.

Ia membuktikan kesatuan pemuda-pemuda Patani tidak diikat atas nilai kesedaran dan semangat semata-mata, sebaliknya dipasak kuat dengan pegangan agama yang tinggi .

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.