Gol Luqman Hakim kecewakan Kemboja

PHNOM PENH– Skuad negara B-19 bergelut sebelum menang 5-4 ke atas tuan rumah Kemboja bagi perlawanan  Kelayakan Kejuaraan AFC 2020 Kumpulan G di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, malam ini.

Skuad negara yang turun dengan misi memburu kemenangan selesa dengan jaringan 3-0 pada babak pertama.

Shafi Azswad meletakkan Malaysia pada minit ke-30 sebelum Fakrul Iman dan Azrin Afiq melebarkan jaringan pada minit 40 dan 43.

Pada awal babak kedua, dua pemain negara dilayangkan kad merah.

Kemboja yang mendapat sokongan ribuan penyokong memanfaatkan peluang itu untuk merapatkan jurang gol menerusi jaringan Met Samel minit ke-61 untuk kedudukan 3-1.

Chea Sokmeng terus memberikan tekanan apabila rembatan lencongnya dari sebelah kiri padang menewaskan penjaga gol Malaysia pada minit ke-65.

Kemboja yang cuba mempamerkan kebangkitan tersentak apabila rembatan Luqman Hakim Shamsudin dari tengah padang menerjah masuk ke arah gawang tanpa dapat diselematkan penjaga gol lawan pada minit ke-67.

Minit ke-72, Muslihuddin Atiq memastikan gol kelima untuk Malaysia. Pemain tersebut berjaya menewaskan tiga pertahanan Kemboja sebelum meledak gol kemenangan.

Tuan rumah yang tidak berputus asa cuba bangkit dengan jaringan Chantea dan Ly Mael minit ke-77 dan minit ke-89.

Keputusan 5-4 itu kekal hingga wisel penamat.

Anak buah Brad Maloney akan mengharungi tiga lagi perlawanan menentang, Brunei Kepulauan Mariana Utara, dan Thailand.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.