Enam jemaah tabligh Malaysia di India selamat dibawa pulang

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR– Enam ahli jemaah tabligh (JT) Malaysia di India selamat tiba di tanah air hari ini kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar .

Beliau berkata, mereka tiba dengan menaiki penerbangan Air India Express (IX1122) dari New Delhi, India dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 3.02 petang.

“Sehingga kini, Kementerian Luar Negeri telah berjaya membawa pulang seramai 176 daripada 189 orang ahli JT yang berada di India.

“Sebelum ini, seramai 170 ahli JT rakyat Malaysia telah dibawa pulang menerusi beberapa siri Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR), iaitu pada 18, 22, 29 Julai, 26 Ogos, 18 September, 9, 14 dan 23 Oktober,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia, semua JT yang pulang diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di Stesyen Kuarantin (QS) sejajar dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

Kamarudin yang juga Pengerusi Petugas COVID-19 merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan yang terlibat.

“Terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan misi membawa pulang JT rakyat Malaysia di India.

“Kerajaan Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan India dalam membantu urusan kepulangan mereka,”katanya.

Menurutnya, Kementerian Luar Negeri, menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India, akan terus memantau isu ini secara rapat dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.

“Kementerian Luar Negeri juga akan meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudahcara urusan pulang 13 ahli JT rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu,”katanya.

Rentas7/ Foto: Jemaah Tabligh Malaysia

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.