Tujuh lagi tambahan PPV bergerak dan jangkauan luar di Johor

Dr. Adham Baba

PUTRAJAYA-Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba menuntut penambahan tujuh lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan jangkauan luar di Johor.

Menurutnya, dengan pertambahan tujuh lagi PPV jenis itu, jumlah keseluruhan PPV bergerak dan jangkauan luar di Johor meningkat kepada 20.

“Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) diminta menambah sejumlah tujuh lagi PPV bergerak dan jangkauan luar di negeri Johor daripada jumlah sedia ada iatu 13.

“Dengan pertambahan 7 lagi PPV jenis ini, jumlah keseluruhan PPV bergerak dan jangkauan luar di negeri Johor meningkat kepada 20,”katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Adham yang juga Pengerusi Bersama CITF berkata, beliau berharap agar jumlah ini dapat direalisasikan sebelum berakhirnya bulan September 2021.

“Usaha ini adalah selaras dengan komitmen kami bagi program jangkauan (outreach programme) iaitu untuk mempercepatkan lagi proses vaksinasi di negeri-negeri yang akan berhadapan musim tengkujuh termasuk negeri Johor.

“Sehingga 4 September 2021, sejumlah 175,360 rakyat negeri Johor telah menerima suntikan vaksin di 13 PPV bergerak dan jangkauan luar sedia ada,”katanya.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 89,263 telah menerima dos pertama vaksin, dan 86,097 telah lengkap divaksinasi.

“Secara keseluruhan 261,457 dos telah diberi di 13 PPV bergerak dan luar jangkauan ini.

“Sehubungan itu, apabila jumlah PPV bergerak ini ditambah kepada 20, saya percaya lebih ramai rakyat negeri Johor khususnya di luar bandar akan mendapat suntikan vaksin dalam tempoh terdekat. Untuk rekod, terdapat sebanyak 364 Pusat Pemberian Vaksin di negeri Johor dengan jenis berbeza.

“Untuk makluman, di peringkat nasional, setakat 4 September 2021, sebanyak 36.1 juta suntikan dos telah diberikan di seluruh Malaysia di mana 20.4 juta individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin, manakala 15.77 juta lagi telah lengkap
divaksinasi.

“Ini menjadikan peratusan populasi dewasa yang telah lengkap divaksinasi di
seluruh Malaysia adalah sebanyak 67.4 peratus,”katanya.

Menurutnya, di negeri Johor sahaja, sebanyak 3.68 juta suntikan dos telah diberi kepada 2.25 juta penduduk bagi dos 1 dan 1.42 juta dos yang kedua.

“Setakat ini, Johor mencatatkan sebanyak 83.1 peratus daripada populasi dewasa yang telah menerima sekurang-kurangnya dos 1 dan 52.6 peratus yang lengkap divaksinasi.

“Kadar purata vaksinasi harian di Johor sepanjang tujuh hari lalu adalah 59,683 dan semalam sahaja, sebanyak 59,240 dos diberikan di seluruh negeri Johor.

“Sepertimana diketahui ramai, bekalan vaksin yang diperolehi negara adalah bergantung kepada stok di peringkat global.

“Sukacita dimaklumkan, negeri Johor kini merupakan negeri kedua menerima bekalan vaksin terbanyak pada bulan Ogos 2021 di mana sebanyak 2.105
juta dos telah dibekalkan; 1.04 juta dos Pfizer, Sinovac 856 ribu dan AstraZeneca 203 ribu,”katanya.

Beliau berkata, pada bulan September 2021, Johor masih menjadi negeri kedua yang akan menerima jumlah vaksin terbesar sebanyak 1.984 juta; 1.82 juta dos Pfizer, 100 ribu dos Sinovac, 40 ribu dos AstraZeneca dan 22 ribu dos CanSino.

“Dengan jumlah bekalan ini, saya pasti usaha pemvaksinan di Johor akan dapat dipertingkatkan lagi.

“Saya juga ingin menyeru agar pihak CITF di Johor dapat memastikan
kapasiti dan tenaga kerja yang mencukupi di seluruh negeri agar usaha vaksinasi seharian dapat dijalankan dengan baik dan tanpa sebarang gangguan,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.