Elak basuh baju di kedai dobi buat sementara- NGO Kedah

ALOR SETAR– Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) menuntut seluruh rakyat negeri ini mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengekang wabak COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, orang ramai diminta berada dalam rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jika nak keluar sekalipun biarlah kerana ada urusan benar-benar mustahak.

“Jangan pentingkan diri sendiri sehingga menyebabkan keadaan semakin tidak terkawal,”katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihati cuba menghindarkan membasuh baju di kedai dobi buat sementara waktu.

“Dalam keadaan seperti ini, PAMM mencadangkan orang ramai membasuh baju di rumah sahaja, elakkan membasuh baju di kedai dobi jika tiada keperluan terdesak.

“Ini kerana kita khuatir, mesin baju yang digunakan mungkin berkongsi dengan pakaian dibasuh orang dijangkiti wabak COVID-19.

“Walaupun belum ada kes direkod disebabkan perkara ini, namun demi keselamatan lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga,”katanya.

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, PAMM memuji langkah diambil pihak berkuasa dengan menutup semua pintu sempadan negara.

“Sepatutnya inilah langkah patut diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH), namun mereka tidak berbuat demikian,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.