Donald Trump mahu bekerjasama dengan kerajaan PN, ucap tahniah kepada Muhyiddin

KUALA LUMPUR–  Amerika Syarikat (AS) menyatakan komited untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tan Sri Muhyiddin berkata, perkara itu dimaklumkan pemimpin AS tersebut melalui panggilan talefon pada malam tadi.

“Malam ini saya telah menerima panggilan telefon daripada Tuan Yang Terutama Donald J. Trump, Presiden Amerika Syarikat.

“Selain mengucapkan tahniah kepada saya dan Kerajaan yang baharu, kami menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama komprehensif di antara Malaysia dan Amerika Syarikat,”katanya malam tadi.

Muhyiddin sedang berbual dalam panggilan talefon dengan Donald Trump malam tadi di pejabatnya

Beliau berkata, dalam panggilan itu, perbincangan turut menyentuh isu penularan COVID-I9 antara Malaysia-AS.

“Pada perbualan yang berlangsung selama 30 minit itu, saya dan Presiden Trump berbincang mengenai pandemik Covid-19, serta pendekatan-pendekatan yang telah diambil kedua-dua negara.

“Kami turut menekankan peri pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik tersebut ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global,”katanya.

Menurutnya, usaha-usaha tersebut termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin Covid-19 kelak.

Muhyiddin berkata, pada masa yang sama, kedua-dua negara juga menzahirkan kesepakatan bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain,terutamanya semasa krisis kesihatan global.

“Selain itu, kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama dalam konteks mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa,”katanya.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.