Vaksin tiba, Malaysia catat sejarah- Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA–Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menyifatkan Malaysia mencipta sejarah apabila telah menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech hari ini.

Khairy berkata, beliau bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba,
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkesempatan menyambut ketibaan vaksin tersebut yang turut disiarkan secara langsung di kaca televisyen.

“Selain di KLIA, ketibaan vaksin hari ini turut melibatkan penghantaran melalui jalan darat dari Singapura ke Johor serta penerbangan dari KLIA ke Pulau Pinang.

“Seterusnya, vaksin-vaksin ini akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara iaitu enam di Selangor; Johor (4), Kuala Lumpur (3), Pulau Pinang (2) dan satu (1) di Putrajaya,”katanya.

Artikel berkaitan: http://rentas7.com/kumpulan-pertama-vaksin-covid-19-pfizer-biontech-tiba-di-malaysia/

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, ketibaan vaksin memberi sinar baharu kepada kita semua rakyat Malaysia, terutama para petugas barisan hadapan dalam usaha memerangi pandemik ini.

“Sehingga 20 Februari 2021, jumlah anggota barisan hadapan yang telah berdaftar untuk mendapatkan imunisasi COVID-19 adalah seramai 571,802 orang.

“Daripada jumlah tersebut 57.3 peratus adalah anggota perubatan dan kesihatan (39.8 peratus dari KKM, 17.5 peratus lain-lain termasuk ATM), dan 42.7 peratus anggota bukan kesihatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain,”katanya.

“Sukacita dimaklumkan bahawa program imunisasi pertama melibatkan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Dr. Noor Hisham telah diawalkan kepada 24 Februari 2021, berbanding perancangan terdahulu iaitu pada 26 Februari 2021,”katanya.

Menurutnya, mereka akan menjadi antara individu pertama yang akan diimunisasi bersama dengan para petugas barisan hadapan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.