Didedahkan Menteri Kewangan, Guan Eng minta PN dan BN disiasat

KUALA LUMPURLim Guan Eng cuba mengheret Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam isu rundingan terus projek walaupun pendedahan dibuat berkaitan dirinya.

Bekas Menteri Kewangan itu dilihat enggan mengalah selepas Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mendedahkan sebanyak 101 projek yang melibatkan jumlah RM 6.61 bilion diluluskan secara runding terus pada zaman Pakatan Harapan (PH).

“Menteri Kewangan dicabar dedahkan senarai penuh tender secara langsung (direct award) oleh PH, PN dan BN.

“Jangan sembunyi dan sorok-sorok. Kita tengok nanti siapa yang kantoi. Tengok kroni-kroni siapa yang dapat projek,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Guan Eng juga masih mempertahankan PH mengamalkan tender terbuka yang didakwanya mendapat kelulusan Kabinet dan mengikut syarat.

“Tetapi pengecualian diberikan tertakluk kepada syarat tertentu seperti perolehan masa krisis atau bencana alam, perolehan yang berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara, kepakaran khusus yang diperlukan dan sebagainya,”katanya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dalam kenyataan sama bagaimanapun mengakui menerima “permintaan” projek oleh menteri ketika itu.

Beliau memetik nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai salah satu indvidu yang pernah meminta projek secara terus daripadanya.

“Atau takut kalau terbongkar nanti bahawa YAB Perdana Menteri dan Menteri-menteri “Pengkhianat” pun ada minta tender “direct award” daripada saya semasa menjadi Menteri Kewangan.

“Jangan suka baling batu sembunyi tangan. Berani kerana benar,”katanya.

Tengku Zafrul Aziz dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini mendedahkan, sebanyak 101 projek perolehan berjumlah RM 6.61 bilion telah dilakukan secara rundingan terus di zaman PH.

Namun dengan tegas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali menafikan perkara itu mendapat kelulusan Kabinet pada zaman berkenaan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.