Buru pembunuh kucing, RM10,000 menanti ramai

Animal Malaysia menaikkan nilai ganjaran bagi memburu si pelaku

KUALA LUMPUR-Individu atau kumpulan yang membakar anak kucing sehingga mati, disyaki berlaku di negara ini sedang diburu Persatuan Haiwan Malaysia dengan nilai lumayan berjumlah RM10,000.

Nilai ganjaran terbaru itu dinaikkan daripada tawaran berjumlah RM3,000 sebelum ini.

“Animal Malaysia (Persatuan Haiwan Malaysia) dapat maklumat tidak lengkap dengan mengatakan kejadian berlaku di Pahang. Namun butiran tidak disertakan untuk siasatan seterusnya,”kata kenyataan itu hari ini.

Animal Malaysia berkata, orang ramai diminta bekalkan maklumat lengkap bersama laporan polis sehingga pelaku berkenaan ditangkap.

Menurutnya, pihak terlibat perlu didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman maksimum atas kezaliman membunuh anak kucing tidak berdosa, jika benar kejadian di negara ini dan pelaku berada di Malaysia.

Ribuan komen di halaman persatuan berkenaan mengutuk tindakan zalim itu dan mahu si pelaku ditangkap.

Video berdurasi 44 saat itu menunjukkan seekor anak kucing comel dicurah minyak petrol sebelum dicucuh dengan pemetik api.

Ia mengakibatkan haiwan itu lari dalam keadaan kesakitan sebelum mati.

Salurkan maklumat segera ke talian Whatsapp hotline +601120901097.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.