Kerajaan lanjutkan tiga bulan lagi bayaran balik PTPTN

Datuk Dr. Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR– Tempoh bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilanjutkan tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari 2021 hingga 31 Mac 2021.

“Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.

“Keputusan ini diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.

“Butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN.

“Sebelum ini, kerajaan telah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik Covid-19,”katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.