APMM selamat lapan mangsa hampir lemas

Mangsa menjalani ujian saringan COVID-19

BINTULU– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan lapan kru kargo selepas kapal dinaiki mereka hampir karam pagi tadi.

Kesemua mangsa adalah warga Indonesia berusia 21 hingga 71 tahun.

Kejadian berlaku apabila kapal mereka dilanda ribut di lokasi 17 batu nautika daripada Pelabuhan Bintulu pada jam 9.50 pagi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, dua aset laut APMM iaitu Kapal Maritim (KM) Jepak dan Bot Kilat 44 digerakkan sebaik Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan.

“Pada sekitar jam 11 pagi, kesemua lapan mangsa kru kapal kargo berjaya diselamatkan oleh KM dengan dibantu bot tempatan yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Kesemua mangsa dalam keadaan baik tanpa mengalami sebarang kecederaan susulan kejadian itu,”katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan rakit keselamatan sebelum diselamatkan APMM.

Tambahnya, semua kru terbabit dirujuk ke pusat kesihatan bagi tujuan mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan warga asing.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.