Bekalan Telur Ayam Fasa Percubaan Tiba Di KLIA

SEPANG, 16 Disember 2022 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) telah membawa masuk telur ayam dari negara luar untuk menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh negara sejak beberapa bulan
yang lalu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan berkata, kementerian telah membenarkan kemasukan telur ayam dari negara India pada hari ini melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian yang ditetapkan.

Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan
kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian Hold, Test and Release
(HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus
Newcastle Disease dan Avian Influenza.

“Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam
import yang selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara.

“Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh Kerajaan juga telah dipatuhi tanpa kompromi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan, hasil ujian yang dilaksanakan oleh MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas dari segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara.

“Sehubungan itu, kementerian bersetuju
memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam daripada sumber luar dan kebenaran ini akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan
pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan kecukupan
bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat
Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.