Belanjawan 2021 ambil kira 6,000 maklum balas rakyat

Muhyiddin dan Menteri Kewangan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menunjukkan dokumen berkaitan Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR– Belanjawan 2021 yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat petang tadi mengambil kira maklum balas 6,000 maklum balas rakyat kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Belanjawan Tahun 2021 yang bernilai RM322.5 bilion yang dibentangkan di Parlimen hari ini merupakan penzahiran konsep Prihatin Rakyat yang didokong teguh oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

Menurutnya, negara walaupun berada dalam situasi yang sukar dan mencabar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan sama sekali.

“Ini merupakan tekad kerajaan dalam memastikan wabak COVID-19 ditangani dengan berkesan, bagi menjamin matlamat kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi.

“Belanjawan ini juga mencerminkan hasrat dan keperluan rakyat dan perniagaan, hasil maklum balas daripada 6,000 respons (maklum balas) yang diterima melalui pelbagai platform dan sesi libat urus,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kerajaan telah menggubal sebuah Belanjawan 2021 yang berprinsip melindungi rakyat dan perniagaan dan membantu mereka untuk melonjak kembali termasuk menjamin masa depan mereka yang lebih berdaya tahan dan lestari.

Beliau berkata, kerajaan sedar bahawa rakyat amat bimbang dengan kesihatan mereka dan punca rezeki bagi menyokong kelangsungan hidup masing-masing.

“Sehubungan itu, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat sentiasa dilindungi.

“Ini jelas dilihat melalui peruntukan yang tertinggi untuk Rakyat dalam Belanjawan 2021 ini berbanding belanjawan Negara yang pernah dibentangkan sebelum ini,”katanya.

Muhyiddin berkata, pelbagai langkah yang digubal bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat .

Menurutnya, akan tetapi langkah digubal itu bagi membantu mereka membina sebuah masa depan yang lebih kukuh.

“Belanjawan 2021 ini juga akan meneruskan momentum yang telah dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan terdahulu yang berjumlah RM305 bilion iaitu Prihatin, Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Penjana dan Kita Prihatin,”katanya.

Menurutnya, pelbagai jenis bantuan, subsidi dan insentif yang bernilai keseluruhannya RM28 bilion telah disediakan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2021 terutamanya bagi menangani beban kos sara hidup dan memelihara kebajikan golongan rentan.

“Selain itu, kerajaan juga komited bagi memberi peluang dan mengekalkan pekerjaan, memastikan keterangkuman dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

“Daripada jumlah ini, bantuan langsung iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), dijangka memanfaatkan sejumlah 8.1 juta rakyat dengan peruntukan RM6.5 bilion.

“Kerajaan terus mengambil maklum kebimbangan rakyat tentang kelangsungan hidup mereka, terutamanya dari segi pekerjaan dan punca rezeki,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan bertekad untuk mencapai sasaran 500 ribu peluang pekerjaan baharu melalui pelbagai program termasuk peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Sehubungan itu, kerajaan juga telah mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara (National Jobs Council). Majlis ini akan dipengerusikan oleh saya sendiri dan akan menyelaraskan semua inisiatif kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat,”katanya.

Muhyiddin berkata, Belanjawan 2021 mengambil pendekatan bersasar untuk memastikan bahawa mereka yang benar-benar memerlukan akan terus mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan.

Menurutnya, golongan ini merentas kaum dan ideologi, tidak kira di pelosok negeri mana mereka berada.

“Pendekatan bersasar ini diambil kira dalam mengizinkan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang telah hilang pekerjaan dan benar-benar terjejas.

“Begitu juga dengan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Bersasar oleh sektor perbankan dari segi kelonggaran pembayaran kepada peminjam yang dikenal pasti,”katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui pelbagai langkah khusus yang bukan sahaja memberi sokongan pembiayaan tetapi juga menambah baik ekosistem perniagaan secara umumnya.

“Saya yakin Malaysia akan terus kekal sebagai destinasi pilihan kepada pelabur- pelabur asing dan domestik.

“Usaha memastikan ketahanan ekonomi Negara juga adalah antara fokus utama kerajaan dalam Belanjawan kali ini,”katanya.

Tambahnya, kerajaan komited dalam melaksanakan belanjawan pengembangan, sementara terus mengekalkan disiplin fiskal.

“Justeru, pemantapan penyampaian perkhidmatan awam juga turut diberikan penekanan.

“Prinsip melindungi (protect), melonjak kembali (rebound), serta menjamin (secure) juga adalah bertujuan untuk terus menyokong Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,”katanya.

Katanya lagi, wawasan tersebut akan menjadi penunjuk arah dasar-dasar kerajaan dalam merapatkan jurang ekonomi, dengan segala hasil kemakmuran negara dikongsi oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kumpulan etnik dan wilayah.

“Belanjawan 2021 adalah sebahagian daripada janji kerajaan untuk mencapai kesejahteraan dan kemakmuran yang sebenar bagi seluruh rakyat Malaysia, serta untuk memastikan setiap rakyat terus maju dan makmur bersama.

“Kerajaan menyeru agar rakyat Malaysia berganding bahu dan menjunjung semangat solidariti dalam usaha kita memerangi wabak Covid-19 dan cabaran ekonomi semasa, katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.