Bekalan minyak masak subsidi di Kedah mencukupi

Wan Romani

ALOR SETAR– Kerajaan negeri mengesahkan bekalan minyak masak bersubsisdi bagi paket satu kilogram (1 kg) di negeri ini mencukupi.

Ia susulan timbul dakwaan Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE) terhadap isu kekurangan minyak masak bersubsidi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah, Romani Wan Salin berkata, kerajaan negeri mengambil perhatian yang serius terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, hasil daripada siasatan yang telah dijalankan, hampir setiap premis yang diperiksa mempunyai stok minyak masak bersubsidi dan tidak berlaku terputus  bekalan dalam tempoh yang lama.

“Pemeriksaan serta siasatan telah dijalankan pada 18 Januari 2021 oleh Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kedah khususnya di daerah- daerah yang telah didakwa berlaku kekurangan bekalan tersebut serta daerah-
daerah yang lain.

“Pemeriksaan dan siasatan telah dijalankan ke atas peruncit, pemborong dan juga pembungkus minyak masak bersubsidi. Hasil siasatan mendapati kebanyakan peruncit mempunyai bekalan minyak masak bersubsidi paket (1 kg) tersebut,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, maklum balas dari peniaga mendapati tiada isu kekurangan bekalan tersebut kerana peniaga masih menerima bekalan dari pembekal sepertimana yang dipohon dan tidak berlaku pengurangan kuantiti.

Menurutnya, pihaknya bagaimanapun dimaklumkan terdapat peningkatan pembelian minyak masak bersubsidi berkenaan akibat kenaikan harga minyak masak dalam botol.

“Para peniaga telah dinasihatkan oleh KPDNHEP Negeri Kedah untuk memastikan barang kawalan iaitu minyak masak terutama minyak masak bersubsidi tidak terputus bekalan.

“Peniaga juga dinasihatkan untuk
tidak menjual minyak masak bersubsidi dalam kuantiti yang banyak dan menjual
kepada pengguna akhir,”katanya.

Romani berkata, pemeriksaan turut dijalankan ke atas 21 buah syarikat pembungkus minyak masak di negeri ini

“Terdapat hanya dua syarikat pembungkus minyak masak yang tidak aktif dan selebihnya masih beroperasi seperti biasa mengikut kuota yang telah ditetapkan di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak Bersubsidi (COSS).

“Justeru, isu kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi tidak berlaku di Negeri
Kedah berdasarkan hasil pemeriksaan dan siasatan yang dilaksanakan oleh pihak KPDNHEP Negeri Kedah.

“Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan pembelian minyak masak bersubsidi (paket 1kg) oleh pengguna mungkin disebabkan berlakunya kenaikan harga minyak masak di dalam botol,”katanya.

Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan akan terus dijalankan setiap hari oleh KPDNHEP Negeri Kedah.

“Ini bagi memastikan setiap peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memastikan bekalan minyak masak bersubsidi (paket 1kg) sentiasa ada di  pasaran bagi menampung permintaan dan keperluan pengguna di Negeri Kedah,”katanya.

Rentas7.com/ Foto: FB Romani Wan Salin

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.