ATM gagalkan penyeludupan ketum di sempadan

Semua bungkusan daun ketum yang cuba diseludup berjaya dirampas ATM

KUBANG PASU- Sudahlah tinggal secara haram, masih lagi berani melakukan aktiviti menyalahi undang-undang

Itulah yang dilakukan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba menyeludup 21 guni daun ketum seberat 923 kilogram (kg) ke Thailand.

Tindakan kesemua PATI itu bagaimanapun dihidu dan dipatahkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), semalam.

Sel Perhubungan Raya, Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam kenyataan berkata, bungkusan daun ketum itu cuba dibawa keluar melalui Kubang Pasu.

Menurutnya, mereka ditahan dalam sektor Op Benteng kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Briged).

“Kumpulan PATI berkenaan berjaya ditahan apabila anggota tentera yang sedang melaksanakan rondaan di sekitar kawasan berkenaan mengesan sekumpulan orang bermotosikal yang terdiri daripada 11 orang lelaki dan 11 buah motorsikal membawa guni bergerak laju menuju ke laluan penyeludup ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan menyebut, kumpulan berkenaan telah ditahan ketika anggota melakukan rondaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kumpulan PATI berkenaan yang terdiri daripada 11 orang lelaki berusia antara 20 tahun hingga 45 tahun membawa 21 guni berisi daun ketum seberat 923 kg yang dipercayai diseludup keluar ke Thailand bagi pasaran di sana.

“Kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Kubang Pasu untuk tindakan selanjutnya dan hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 70,588.00 melibatkan 923 kg daun ketum, 11 buah motosikal, wang tunai serta beberapa buah telefon bimbit,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.